Kucing bunting berak depan rumah mati dipukul wanita berusia 51 tahun
BERANG terhadap seekor kucing yang membuang najis di hadapan rumah, seorang wanita sanggup memukul dua ekor haiwan tersebut di Pintas Kalui, Georgetown, semalam.
Tindakan wanita berusia 51 tahun itu telah menyebabkan seekor daripadanya mati manakala seekor lagi luka di bahagian mulut.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 1.20 tengah hari.
“Pengadu bersama rakannya mendakwa terdengar rungutan suspek berkenaan kucing yang membuat najis di hadapan rumahnya.
“Suspek kemudian dilihat mengambil besi di dalam keretanya sebelum memukul kucing tersebut hingga mengakibatkan seekor kucing yang bunting mati,” katanya.
Menurut Shafee, suspek itu bekeja sebagai broker dan tiada rekod jenayah lampau.
Tambahnya, suspek diambil tindakan oleh Jabatan Veterinar dan kes disiasat mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015. -SM