Tiga pekerja maut akibat renjatan elektrik ketika pasang panel solar
TIGA pekerja kontrak maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika melakukan kerja pemasangan panel solar di bangunan Jabatan Kerja Raya (JKR) di sini, pagi tadi.
Menurut laporan Harian Metro, kejadian berlaku sekitar jam 11.11 pagi, melibatkan seorang warga tempatan berusia 54 tahun, serta dua warga asing masing-masing berusia 25 dan 34 tahun.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Ediansha Endal, berkata siasatan awal mendapati empat pekerja telah ditugaskan untuk memasang panel solar di lokasi tersebut.
“Ketika kerja pemasangan dilakukan, mereka menggunakan perancah (‘scaffolding’) pada ketinggian hampir 12 meter. Salah seorang pekerja berada di bawah ketika kejadian.
“Panel solar yang dipasang dipercayai menyentuh kabel elektrik milik Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), yang dikategorikan sebagai voltan tinggi (11,000kV),” katanya.
Ketiga-tiga mangsa disahkan maut di lokasi kejadian, dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).
“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Ranau untuk tindakan lanjut. Siasatan masih dijalankan,” tambah beliau.
Difahamkan, mayat mangsa telah dipindahkan ke lokasi selamat sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.