Ekonomi

KPJ Healthcare lantik Izzad Shamsudin sebagai Ketua Pegawai Kewangan baharu

KPJ Healthcare Berhad secara rasmi mengumumkan perlantikan Mohd Khairul Izzad Mohammed Shamsudin sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO) yang baharu, berkuat kuasa 10 Jun 2024.

Beliau mengambil alih jawatan tersebut daripada Norhaizam Mohammad, yang telah berkhidmat dengan cemerlang bersama syarikat sejak 2008.

Izzad Shamsudin berpengalaman luas selama lebih 18 tahun dalam mengetuai operasi kewangan dan memacu kepimpinan kewangan strategik, memegang peranan penting dalam pelbagai organisasi berprestij.

Sebelum menyertai KPJ Healthcare, Izzad Shamsudin merupakan Pengurus Besar Kanan Kumpulan Kewangan di MISC Berhad, yang mana beliau mengetuai transformasi fungsi kewangan, mengoptimumkan proses melalui teknologi dan memacu kepimpinan kewangan strategik.

Pengalaman beliau yang luas termasuk tempoh berkerja di QSR Brands (M) Holdings Berhad, yang mana beliau berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, dan Deloitte, sebagai Rakan Kongsi dan barisan Pengurusan Kanan Negara.

Latar belakang Izzad Shamsudin yang cemerlang dalam bidang korporat dan perundingan telah melengkapkan beliau dengan kepakaran kewangan yang luar biasa dan pemahaman yang komprehensif mengenai persekitaran pasaran yang pelbagai.

Izzad Shamsudin memiliki Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam Perakaunan dari Universiti Cardiff dan merupakan Felo Akauntan Bertauliah ‘Fellow Chartered Accountant’ (FCA) dan Ahli Professional dalam Kewangan Perniagaan ‘Business Finance Professional’ (BFP) dengan Institut Akauntan Bertauliah di England dan Wales (ICAEW).

Beliau juga merupakan Akauntan Bertauliah (CA) dengan Institut Akauntan Malaysia (MIA), dan Akauntan Awam Bertauliah (CPA) dengan CPA Australia.

Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan, menzahirkan keyakinannya terhadap pelantikan baharu itu.

Kami berbesar hati untuk mengalu-alukan kehadiran Izzad Shamsudin ke KPJ Healthcare sebagai CFO baharu kami. Rekod prestasi kepimpinan kewangan dan visi strategiknya yang terbukti akan memainkan peranan penting dalam meneruskan komitmen ‘Care for Life’ kami, memastikan standard penjagaan berpusatkan pesakit yang terbaik dan terus memacu pertumbuhan dalam industri, ” katanya.

KPJ Healthcare juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Norhaizam Mohammad atas sumbangan tidak ternilai berliau selama lebih 16 tahun. 

Sepanjang tempoh perkhidmatan beliau, pelbagai kejayaan cemerlang telah dicapai, termasuklah penerbitan Sukuk Kelestarian KPJ Healthcare pada tahun 2022. Kewibawaan pucuk pimpinan beliau telah memainkan peranan penting dalam menerajui syarikat melalui fasa transformasi, termasuk peranannya sebagai Pegawai Pimpinan ‘OIC’ pada tahun lalu.

“Hala tuju strategik dan dedikasi Puan Haizam telah banyak menyumbang terhadap kemajuan dan kejayaan KPJ Healthcare. Kami mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau dan mengucapkan terima kasih atas komitmen dan perkhidmatannya yang tidak berbelah bahagi kepada syarikat,” kata Keat Chyuan. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button