Parlimen

KPDNHEP, SSM bantu peniaga OKU, belia – Alexander Nanta Linggi

BANTUAN untuk golongan orang kelainan upaya (OKU), wanita, belia dan pelajar yang baru memulakan perniagaan semestinya ada di dalam radar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwah Pengguna (KPDNHEP) yang diterajui oleh menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Bantuan untuk golongan ini disalurkan melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang mana, giat menggerakkan sektor komuniti niaga dan korporat yang terjejas dengan Covid-19.

Menurut Alexander, SSM melaksanakan lapan inisiatif yang bersifat inklusif bagi mengurangkan beban dan tekanan yang dihadapi oleh golongan peniaga berkenaan.

“Inisiatif pertama SSM ialah melaksanakan tempoh moratorium 30 hari dari tarikh berakhir Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyerahkan dokumen berkanun SSM di bawah Akta Syarikat 2016 dan Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012.

“Ia perlu diserah simpan kepada SSM bermula 18 Mac 2020 hingga 30 September 2020 lalu di mana bayaran (fees) lewat serah simpan akan dikecualikan,” katanya ketika menjawab soalan yang dilontarkan oleh Yang Berhormat (YB) Rasah, Cha Kee Chin di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Alexander lagi, SSM juga memberikan pengecualian bayaran (fees) lewat serah simpan bagi dokumen berkanun di bawah Akta Syarikat 2016 berikutan arahan Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa kawasan mulai 9 November 2020 lalu sehingga 31 Disember 2020.

“Inisiatif ketiga oleh SSM turut melibatkan pelanjutan masa untuk serah simpan penyata kewangan kepada SSM bagi tahun kewangan berakhir 1 September 2019 hingga 31 Mac 2020.

“Syarikat perlu membuat permohonan kepada SSM dan pengecualian fi sebanyak RM100 diberikan bagi tujuan tersebut.

“Pelanjutan masa juga diberikan kepada syarikat untuk mengadakan AGM. Syarikat perlu membuat permohonan kepada SSM dan pengecualian fees sebanyak RM100 diberikan bagi tujuan pelanjutan masa,” ujar beliau.

Katanya lagi, inisiatif keempat, SSM telah menaikkan nilai ambang keberhutangan di bawah seksyen 466 Akta Syarikat 2016 daripada RM10,000 kepada RM50,000 untuk mengurangkan tindakan penggulungan terhadap syarikat.

Tempoh untuk menjawab notis tuntutan oleh sesebuah syarikat juga telah dipanjangkan kepada 6 bulan berbanding tempoh 21 hari sebelum PKP, katanya.

Manakala kata Alexander lagi, inisiatif kelima, KPDNHEP melalui SSM juga telah memberi pengecualian kepada Syarikat Berhad Menurut Jaminan (SBMJ) yang telah mendapat kelulusan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM).

“Ini di bawah subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967) daripada keperluan untuk mendapatkan kelulusan Menteri KPDNHEP atau SSM untuk membuat kutipan sumbangan berkaitan pandemik Covid-19 sehingga 31 Disember 2020.

“SBMJ yang tidak mendapat kelulusan di bawah subseksyen 44(6) ACP 1967 daripada LHDNM masih dibenarkan untuk membuat kutipan sumbangan untuk tujuan pandemik COVID-19 dengan syarat, SBMJ tersebut perlu membuat permohonan kepada SSM bagi mendapatkan kelulusan Menteri,” katanya. – SM

(Visited 286 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button