Nasional

KPDNHEP beri amaran batalkan lesen syarikat jualan langsung

Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memandang serius pelanggaran dan ketidakpatuhan di bawah peruntukan Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993 (Akta 500).

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kebanyakkan syarikat jualan langsung telah melanggar garis panduan, peraturan dan syarat lesen yang berkuatkuasa.

Menurutnya, setakat ini KPDNHEP telah membatalkan lesen sebanyak 34 syarikat jualan langsung sehingga kini dan sebanyak 26 kes nilai rampasan sebanyak RM4.2 juta bagi tempoh 2020 hingga 2022.

Beliau berkata, selain lesen dibatalkan sebanyak RM71,000 kompaun dikenakan dan denda berjumlah RM148,000 turut dikenakan.

“KPDNHEP memandang serius terhadap aduan-aduan yang diterima melibatkan pelanggaran dan ketidakpatuhan kepada peruntukan undang-undang dan peraturan di bawah Akta 500.

“Kementerian di bawah Bahagian Penguatkuasaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana syarikat yang gagal untuk mematuhi peruntukan undang-undang tersebut serta tidak akan teragak-agak membatalkan lesen jualan langsung syarikat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Hari Industri Jualan Langsung Malaysia peringkat negeri Melaka di Mahkota Parade di sini hari ini.

Dalam pada itu, Alexander mahu masyarakat mengubah persepsi industri jualan langsung bukan mempromosikan perniagaan berasaskan skim piramid atau skim cepat kaya.

Beliau berkata, industri tersebut sudah terbukti mampu menjadi sumber pendapatan melalui syarikat pemegang lesen jualan langsung berlesen.

Menurutnya, pencapaian nilai industri jualan langsung bagi tahun 2020 adalah berjumlah RM25.7 bilion menunjukkan peningkatan sebanyak 43.6 peratus dari tahun 2019 dengan jualan dicatatkan ialah RM21.5 bilion.

Beliau berkata, laporan jualan peruncitan jualan langsung Global 2021 terbitan Persekutuan Jualan Langsung Dunia (WFDSA) kedudukan Malaysia dari segi jualan berada di tangga keenam di peringkat global dan keempat di Asia Pasifik.

“Industri jualan langsung ini berperanan besar membantu dalam merancakkan ekonomi di seluruh negara.

“KPDNHEP sangat mengalakkan minat dalam kalangan rakyat untuk menceburi bidang ini kerana potensi dan nilai jualan langsung menunjukkan ia sangat menguntungkan apabila diceburi sebagai satu perniagaan yang boleh diharapkan,” ujarnya.

Menurutnya, KPDNHEP bersungguh dalam mempromosikan dalam sektor jualan langsung bukan sahaja beroperasi di 100 buah negara tetapi menyumbang ketara kepada pembangunan kemahiran, pertumbuhan teknologi, pertumbuhan sektor Perusahaan Kecil Sederhana (PKS). – SM

(Visited 172 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button