Konspirasi kelirukan agong
TAN Sri Annuar Musa mendakwa terdapat konspirasi terancang oleh pihak yang cuba mengelirukan Yang di-Pertuan Agong dalam soal pemilihan Perdana Menteri ke-10.
Ketua UMNO Bahagian Ketereh itu tanpa merujuk kepada mana-mana individu mendakwa, pihak terbabit mengemukakan dokumen bercanggah Perlembagaan negara malah bertentangan keputusan Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) yang dibuat hari ini.
“Difahamkan ada pihak sekali lagi cuba ‘misled’ (mengelirukan) Yang di-Pertuan Agong dengan dokumen bukan saja bercanggah Perlembagaan malah bertentangan keputusan Dewan Tertinggi BN hari ini.
“Perbuatan menjayakan ‘konspirasi terancang’ ini amat serius dan melanggar dasar (diputuskan pada) Perhimpunan Agung UMNO sebelum ini serta keputusan Dewan Tertinggi BN dan difahamkan ianya tidak terpakai,” katanya dalam hantaran di Facebook, malam ini.
Mengulas lanjut, Annuar berkata, dengan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong proses pemilihan Perdana Menteri akan selesai dengan baik.
Menurut beliau, kerumitan adalah kerana ada pihak dalam BN membuat pakatan sulit atau konspirasi sejak sebelum PRU15, tanpa menyedari perkara itu menjadi satu kesalahan besar serta tidak sah dan terbatal.
“Pertama, dasar parti ‘No Anwar, No DAP’ diputuskan dalam perhimpunan agung adalah ‘binding’ (mengikat) semua orang dan tak boleh dirombak mana-mana individu. Sebarang tindakan bercanggah dengan dasar parti adalah ‘null and void’.
“Kedua, pendirian anggota parlimen dipilih, untuk menentukan siapa mereka sokong bagi memegang jawatan Perdana Menteri, mesti dibuat tanpa sebarang tekanan sesiapa. Ahli parlimen berhak membuat keputusan mengikut dasar parti diputuskan secara sah.
“Sebarang dokumen lain cuba dimanipulasi adalah terbatal dan tidak sah serta tidak berperlembagaan. Justeru kita yakin kebijaksanaan dan sikap adil serta berperlembagaan Yang di-Pertuan Agong sebagai penguasa mutlak dalam melantik Perdana Menteri,” katanya.
Annuar berkata, beliau difahamkan setiap Ahli Parlimen BN akan diberi peluang menyatakan sendiri pilihan mereka, sesuai dengan kehendak perlembagaan dan masalah konspirasi yang terbongkar, akan diurus UMNO dan BN.