NegeriRencah Hidup

Konsep Rumah Terbuka rakyat Malaysia unik, ziarah di musim perayaan-Raja Puan Muda

SALAH satu keunikan negara Malaysia adalah konsep Rumah Terbuka di mana saudara-mara dan sahabat-handai akan meluangkan masa menziarahi mereka yang menyambut perayaan ini di rumah untuk mengucapkan selamat sejahtera dan semoga bergembira kepada mereka, di samping menikmati juadah yang disediakan tuan rumah.

Dengan perayaan ini jelas mempamerkan kekayaan budaya kaum termasuklah kaum Tionghua yang menyambut Tahun Baru Cina baru-baru ini, dan juga meraikan kepelbagaian budaya yang wujud di Malaysia.

Demikian titah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selepas berkenan menandatangani watikah penghargaan dan terima kasih kepada ahli-ahli panel serta urusetia di atas penglibatan dan komitmen dalam menjayakan program ‘lWebinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) Siri Ke-17 bertajuk “Sharing the Joy of the Rabbit Chinese New Year 2023” anjuran Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dengan kerjasama YTF secara atas talian pada 17 Januari lalu.

Baginda selaku Pengerusi YTF turut menitahkan ucapan syabas dan tahniah kepada Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) UTAR, Prof. Ir. Datuk Dr. Ewe Hong Tat atas penganjuran program tersebut yang disempurnakan perasmiannya oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada pagi yang sama.

Raja Puan Muda bersama-sama Raja Muda yang juga Penasihat DiRaja YTF turut menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Tahun Baru Cina 2023 baru-baru ini dan semoga sambutan kali ini memahat seribu satu kenangan terindah buat mereka dan seluruh ahli keluarga mereka.

Baginda berharap webinar yang telah berjaya berkongsi maklumat dan input lebih mendalam mengenai sambutan Tahun Baru Cina pada kali ini juga telah membantu semua para hadirin dalam memahami perihal adat dan tradisi yang dipraktikkan di Malaysia ini.

Tambah Tuanku Hajah Lailatul Shahreen lagi, ‘Perayaan menyambut Tahun Baru Cina adalah juga merupakan titik mulanya Musim Bunga di China, bermula pada hari pertama mengikut Kalendar Tahun Baru Cina ataupun hari pertama di bulan yang baharu dan berakhir pada hari yang ke-15. – SM

(Visited 197 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button