Kolam air panas IKBN Dusun Tua kering kontang
Kolam air panas di hadapan Institut Kemahiran Belia Dusun Tua Hulu Langat Selangor yang selama ini menjadi tumpuan warga kota untuk menyegarkan badan kini kering kontang.
Seorang pengguna Facebook Kak Cheq Lela berkongsi foto keadaan kolam air panas itu yang kini kering tanpa setitis air pun di dalamnya.
Melalui gambar yang dikongsinya itu tanah yang terdapat di dalam kolam air panas itu mulai merkah dan kelihatan asap keluar dari celahan tanah.
Beliau yang merupakan salah seorang tenaga pengajar di situ berkata, kolam itu kering kontang sejak dua hari lalu.
“Kering sudah air panas,” katanya dua hari lalu. Beliau sekali lagi berkongsi gambar kolam berkenaan hari ini yang masih kering kontang.
Menurutnya, kejadian itu adalah pertama kali pertama kali berlaku sejak beliau bertugas di sana kira-kira 13 tahun yang lalu.
Kolam itu yang menjadi sebahagian tempat rekreasi dan riadah penduduk sebelum ini sentiasa dipenuhi air walaupun berlaku cuaca kering.
Cuaca kering yang melampau sejak beberapa hari lalu mungkin menjadi punca kolam berkenaan kering.-SM