Klopp sahkan Salah negatif Covid-19
BINTANG antarabangsa Mesir terpaksa diketepikan dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris yang menyaksikan Liverpool melakar kemenangan 3-0 ke atas Leicester, awal pagi tadi (waktu Malaysia) selepas dia disahkan positif Covid-19.
Pemain sayap Reds itu kembali ke United Kingdom dari Mesir di mana dia menghadiri majlis perkahwinan adik lelakinya.
Keputusan Salah menghadiri majlis perkahwinan adiknya itu telah mengundang kritikan apabila dia diuji positif coronavirus.
Salah dan rakan senegaranya, Mohamed Elneny pulang ke Britain, Jumaat lalu dan Klopp berkongsi khabar gembira mengenai tonggaknya itu.
“Dia telah diuji negatif, hari ini. Esok, kami perlu menjalani pemeriksaan UEFA untuk aksi Liga Juara-Juara, dia kini sudah boleh berlatih bersama kami, esok. Itu sahaja,” kata warga Jerman itu.
Liverpool akan berdepan Atalanta di Anfield, Khamis ini dengan sasaran untuk mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus di pentas Eropah.
Ketiadaan Salah, Reds masih mampu membenam Leicester 3-0 di Merseyside dengan dua daripada tonggak hadapan mereka berjaya meledakkan gol.
Diogo Jota menjaringkan gol kedua Liverpool, manakala Roberto Firmino menyumbat gol ketiga menerusi sepakan sudut pada lewat permainan.
Klopp memuji aksi anak-anak buahnya yang sedar terhadap harapan yang diletakkan dibahu mereka.
“Kami menjaringkan tiga gol dan tidak dibolosi walaupun satu gol, kami bertahan dengan cukup baik dan berjaya mengawal permainan.
“Banyak benda baik yang berlaku. Sukar untuk saya memilih salah satu daripadanya, mungkin persembahan James Milner di posisi bek kanan. Dia beraksi dengan cemerlang, pertama di posisi pertahanan dan kemudian bertukar ke bahagian tengah pula.
“Itulah harapan yang kami jangkakan daripada diri kami sendiri. Kecederaan memang menjadi satu kejutan besar pada ketika ini, tetapi para pemain berjaya menawarkan jalan penyelesaian masalah.
“Kami memiliki bek tengah, mereka sangat muda. Pengalaman mereka sangat cetek, anda boleh lihat di bangku simpanan, malam ini (awal pagi tadi waktu Malaysia),” katanya. – Mirror – SM