Negeri

Klinik wakaf mediCOM tawar rawatan percuma penduduk Mabul

Oleh Nur Azreen Arifin

PERANAN wakaf dalam membantu masyarakat yang memerlukan terutama dalam era pendemik Covid-19 yang melanda perlu diberi perhatian sewajarnya dan khusus terutama masyarakat luar bandar.

Pertubuhan Amal Kebajikan dan Perubatan Msia (MediCOM) mengambil inisiatif apabila turut mengambil bahagian dalam misi kebajikan dan kesihatan Pulau Mabul, Semporna, Sabah  dengan membuka sebuah klinik.

Pengerusi MediCOM, Dr. Shafiq Wahab berkata, klinik ini dibuka bagi tujuan kebajikan dengan memberi perkhidmatan secara percuma.

“Wakaf boleh menjadi satu alternatif bagi membantu meringankan beban kerajaan dan masyarakat. Kos-kos perkhidmatan semua secara percuma diberikan hasil sumbangan orang ramai juga dana zakat,” katanya ketika turut serta dalam misi kebajikan dan kesihatan tersebut.

Pada hemat beliau, “Kita melihat perlu dan pentingnya sebuah klinik yang tiada sebarang kos apabila pesakit menerima rawatan yang diperlukan memandangkan keadaan di sini tidak sama seperti di bandar yang mempunyai kelengkapan yang mencukupi.”


Untuk makluman, 60 peserta terlibat dalam misi kebajikan dan kesihatan kali ini dan mereka terdiri dari pelbagai latar belakang termasuk doktor pakar, doktor gigi, pegawai perubatan dan sukarelawan yang lain.

Tambah Dr. Shafiq lagi, MediCOM turut sama dalam program baik pulih sekolah tadika, khatan perdana, pemeriksaan kesihatan, jamuan rakyat, pemeriksaan gigi, rawatan perubatan Islam dan lain-lain lagi aktiviti yang diatur.

“Kita buat secara berkala kerana ada tadika dan sekolah di sini yang perlu dibaik pulih dan kita mengalu-alukan orang ramai untuk terus menyumbang bagi tabung pendidikan anak-anak di Mabul,” katanya.

Beliau berkata, demi masa depan anak-anak dan penduduk di Mabul, segala sumbangan dapat membina infrasturktur lebih baik selain daripada memberi rawatan kesihatan kepada penduduk setempat.
Sumbangan boleh disalurkan kepada akaun Pertubuhan Amal Kebajikan dan Perubatan Msia nombor akaun 562478167234 Maybank atau boleh hubungi talian 011-15711581.

Misi kebajikan dan kesihatan Pulau Mabul turut mendapat kerjasama NGO Selayang Care, Rescue Ummah, Abrar Care dan Rico’s Pizza. – SM

(Visited 112 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button