Nasional

KKM tiada maklumat isu masalah bekalan vaksin Covid Pfizer

MALAYSIA tidak mempunyai sebarang maklumat berkaitan isu masalah pembekalan dos vaksin Covid-19 yang dikeluarkan oleh syarikat Pfizer Inc.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih belum menerima sebarang dokumen daripada Pfizer untuk penilaian pendaftaran dan pengujian produk vaksin Covid-19.

“Sekaligus tidak mempunyai sebarang maklumat berkaitan isu masalah pembekalan dos vaksin tersebut sebagaimana yang dilaporkan.

“Walau bagaimanapun, KKM akan sentiasa memantau perkembangan produk vaksin COVID-19 oleh Pfizer dan mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara ini,” kata Dr. Noor Hisham.

Beliau mengulas pertanyaan orang awam mengenai laporan yang dikeluarkan oleh agensi media antarabangsa Reuters bertarikh 4 Disember bertajuk “Pfizer says supply chain challenges contributed to slashed target for COVID-19 vaccine doses in 2020”.

Dr. Noor Hisham menegaskan, menjadi tanggungjawab NPRA untuk memastikan sebelum sesuatu produk didaftarkan untuk dipasarkan di Malaysia perlu terlebih dahulu melalui proses penilaian dan pengujian berasaskan prinsip-prinsip kualiti, keselamatan dan juga keberkesanan.

NPRA juga memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan vaksin serta ubat-ubatan yang berdaftar sentiasa terjamin melalui program pemantauan mutu produk berdaftar dan farmakovigilans.

“Pihak KKM akan memaklumkan perkembangan terkini kepada orang ramai dari semasa ke semasa,” kata Dr. Noor Hisham.

Reuters melaporkan cabaran yang dihadapai Pfizer Inc dalam mendapatkan rantaian bekalan untuk bahan mentah yang digunakan dalam vaksin Covid-19 sekaligus syarikat tersebut membuat keputusannya untuk mengurangkan sasaran pengeluarannya.

Pfizer memaklumkan syarikat itu hanya boleh menghasilkan 50 juta dos vaksin COVID-19 tahun ini. Jumlah tersebut dari sasaran 100 juta dos sebelumnya.

Setiap individu memerlukan dua dos vaksin tersebut yang bermaksud 50 juta dos hanya cukup untuk menyuntik 25 juta orang.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin sebelum ini memaklumkan bahawa Malaysia akan membeli 12.8 juta dos vaksin COVID-19 dari Pfizer bagi menampung keperluan imunisasi 20 peratus atau 6.4 juta rakyat negara ini.

Penghantaran pertama membabitkan sejuta dos vaksin itu akan dibuat pada suku pertama tahun depan disusuli 1.7 juta dos pada suku tahun kedua, 5.8 juta dos pada suku tahun ketiga dan seterusnya 4.3 juta dos pada suku tahun keempat.-SM

 

(Visited 157 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button