Nasional

Kita masih dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara – Ismail Sabri

Rakyat diingatkan bahawa negara masih dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara.

Ingatan itu diberikan oleh Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berikutan ramai yang keliru dan menganggap negara telah beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara.

“Perlu ditegaskan bahawa kita masih berada dalam Fasa 1. Peralihan Fasa dalam PPN tidak bergantung kepada satu-satu tarikh. Jika kita sudah mencapai tiga nilai ambang dalam tempoh singkat, maka peralihan Fasa seterusnya akan dilaksanakan secepat mungkin.

“Justeru, saya berharap kita bersama-sama mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi melandaikan lengkuk kes COVID-19, sekaligus membolehkan ketiga-tiga indikator tersebut dicapai dalam masa terdekat,” kata Ismail Sabri dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu Ismail Sabri mengumumkan  pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tiga lokaliti iaitu Penjara Jelebu, Negeri Sembilan; Kampung Pangkal Jetas, Machang, Kelantan dan Taman Public, Kota Kinabalu, Sabah. PKPD bermula dari 2 Julai hingga 15 Julai.


PKPD di Penjara Jelebu turut melibatkan Kuarters Kakitangan tetapi tidak merangkumi Blok Muhasabah yang menempatkan tahanan PTP. Sebanyak 132 individu positif selepas ujian saringan ke atas tahanan, kakitangan penjara dan ahli keluarga.

Kampung Pangkal Jetas dikenakan PKPD berikutan 28 kes positif COVID-19 dikesan hasil saringan ke atas 172 penduduk. Di Taman Public sembilan kes direkodkan positif COVID-19 hasil 16 ujian saringan.

Sementara itu PKPD Kampung Landung Ayang, Kudat, Sabah yang sepatutnya tamat esok dilanjutkan hingga 15 Julai.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melakukan 935 ujian saringan dan 89 daripadanya disahkan positif COVID-19. KKM juga mendapati penularan masih berlaku dalam komuniti serta terdapat kes baharu direkodkan di lokaliti tersebut,” kata Ismail Sabri.

PKPD di lima lokaliti ditamatkan esok iaitu Kampung Bukit Gemuk dan Kampung Tanjung Batu Keramat, Tawau; Perumahan Etara, Lahad Datu; Taman Lavender, Kudat, Sabah serta Kampung Serikin, Kuching, Sarawak.

Ismail Sabri berkata, 600 individu telah ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard semalam. Daripada jumlah itu, seramai 592 individu dikompaun manakala lapan lagi direman.

Kesalahan direkodkan ialah gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (136), tiada penjarakan fizikal (125), rentas negeri/daerah tanpa kebenaran/makan/minum di premis (104).

Turut dikenakan tindakan kerana tidak memakai pelitup muka (96), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (70), membawa penumpang berlebihan (30) premis gagal patuhi arahan (12) dan lain-lain (27).-SM

(Visited 48 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button