Nasional

Malaysia terima bantuan bernilai RM1.7 juta dari Brunei

MALAYSIA menerima sumbangan bernilai RM1.7 juta dalam bentuk alat bantuan pernafasan dan PCR Covid-19 test kits. Peralatan tersebut akan ditempatkan di Hospital Kerajaan di Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah dan Sarawak bulan ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sumbangan yang berharga ini akan membantu sistem kesihatan negara di Labuan, Sabah dan Sarawak dalam mendepani situasi semasa.

“Bagi pihak Kerajaan Malaysia, saya telah menzahirkan ucapan terima kasih terhadap keprihatinan Seri Paduka Baginda Sultan Brunei dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta Kerajaan Brunei Darussalam.

“Malaysia amat menghargai sokongan penuh dan kerjasama berterusan daripada Kerajaan Brunei Darussalam dalam menangani penularan pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, satu perbualan telefon telah diadakan di antara Hishammuddin dan rakan sejawat, Menteri Luar Negeri II, Datuk Seri Setia Haji Erywan Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof berkenaan sumbangan Kerajaan Brunei Darussalam yang bernilai RM1.7 juta kepada Malaysia.


Melalui sumbangan ini, hubungan sedia ada di antara Malaysia dan Negara Brunei Darussalam akan diperkukuhkan lagi demi kepentingan rakyat kedua-dua negara.

Menurut Hishammuddin lagi, beliau dan Datuk Erywan juga telah memperbaharui komitmen kedua-dua negara untuk terus bekerjasama dan saling membantu terutamanya dalam situasi semasa pandemik Covid-19.

Untuk rekod, sejak Mac tahun lepas, Brunei merupakan antara negara pertama yang bekerjasama dengan Malaysia untuk mendepani cabaran serta impak berikutan penularan pandemik Covid-19.

Antaranya termasuklah beberapa misi repatriasi rakyat kedua-dua negara dari Arab Saudi, India, Kemboja, Mesir, dan Sri Lanka serta memudahcara urusan pulang rakyat kedua-dua negara ke Malaysia dan Brunei.

Hishammuddin berkata, sumbangan Brunei ini mempamerkan hubungan diplomatik erat dan istimewa yang telah terjalin selama 37 tahun antara kedua-dua negara.

“Ini turut menunjukkan komitmen tinggi kedua-dua negara sebagai negara anggota ASEAN dalam menangani krisis Covid-19,” kata beliau dalam kenyataan yang sama. – SM

(Visited 41 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button