Politik

Kit Siang saran moratorium politik

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang menyarankan supaya dilaksanakan moratorium politik bagi membolehkan negara menumpukan kepada usaha menangani pandemik Covid-19.

“Saja justeru mencadangkan supaya moratorium politik dilaksanakan selama satu tahun — yang boleh dilanjutkan kepada dua tahun — bagi membolehkan negara fokus kepada usaha untuk memenangi peperangan melawan wabak Covid-19 dan memastikan jumlah kes kematian akibat Covid-19 tidak melebihi paras 5,000 kes,” katanya dalam tulisan di blog peribadi beliau.

Pendirian beliau itu berbeza daripada para pemimpin politik lain yang terutama pembangkang yang cenderung untuk memaksa Parlimen bersidang bagi memboleh undi tidak percaya kepada kerajaan dapat dilaksanakan.

Pun begitu, kata beliau negara terjerat dalam kebuntuan perlembagaan selama lebih satu tahun, di mana tiada individu yang mempunyai majoriti yang mencukupi di Parlimen di tengah-tengah situasi negara ketika ini berdepan dengan ancaman eksistensial ekoran penularan pandemik Covid-19 yang berpanjangan.

Rakyat Malaysia, katanya, akhirnya mula nampak cahaya di hujung terowong untuk keluar dari kemelut pandemik Covid-19 yang berpanjangan selama 18 bulan selepas Majlis Raja-Raja Melayu mengadakan perbincangan khas semalam.

“Ini memberikan Malaysia — yang secara tiba-tiba menjadi salah satu negara dengan prestasi terburuk di dunia dalam mengawal penularan wabak Covid-19 sementara negara-negara yang menunjukkan prestasi terburuk dalam tempoh 12 bulan pertama wabak itu mengganas, kini telah berubah dan menunjukkan prestasi yang lebih baik dalam mengendalikan perang menentang pandemik Covid-19, terutamanya dalam program pemberian vaksin yang dijalankan mereka — sebuah peluang untuk memenangi peperangan melawan pandemik Covid-19,” katanya.

Kata Kit Siang, permulaan baharu bagi negara ini telah dibuka seluas-luasnya susulan keputusan daripada perbincangan khas yang dijalankan Majlis Raja-Raja Melayu semalam dan tiada mana-mana entiti politik yang boleh menggunakan keputusan itu untuk menjustifikasikan kedudukannya dalam situasi politik dalam negara ketika ini.

Kata beliau, jadikan kedua-dua kenyataan yang dikeluarkan hasil Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja Melayu semalam iaitu Parlimen serta Dewan Undangan Negeri harus bersidang secepat mungkin dan bahawa tidak ada keperluan untuk darurat dilanjutkan selepas 1 Ogos, menjadi asas kepada “mentaliti perang” untuk memenangi peperangan melawan pandemik Covid-19.

“Marilah kita mengetepikan sebarang perbezaan yang timbul di antara kita, sama ada dari segi pegangan politik atau sebagainya, untuk sepenuh hati memenangi peperangan melawan wabak Covid-19,” katanya.

Beliau bagaimanapun menyatakan sokongan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri kerana berpendapat beliau merupakan pemimpin yang paling berpengalaman, cekap dan berkelayakan untuk menjadi memimpin negara yang merupakan sebuah negara yang majmuk.

Beliau juga mengulangi gesaan supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen) Takiyuddin Hassan untuk memberikan kerjasama sepenuhnya untuk mengadakan sidang Parlimen dan DUN sebelum 1 Ogos 2021 kerana ini adalah hasrat jelas yang datang daripada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu sendiri.

Katanya, pendirian Speaker, Azhar Azizan Harun yang mempertahankan garis masa yang telah ditetapkan oleh Perdana Menteri untuk memanggil sidang Parlimen adalah satu perkara yang amat malang dan mengecewakan.

“Saya menggesa supaya diadakan mesyuarat Kabinet tergempar bagi membincangkan mengenai keputusan yang dibuat hasil daripada Perbincangan Khas Majlis Raja-Raja Melayu semalam supaya Parlimen dapat mematuhi Perintah Tetap Dewan Rakyat dan bersidang pada hari Isnin, 19 Julai 2021,” katanya.

Sementara itu, katanya, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen perlu dibenarkan berfungsi dengan berkesan.

Malah, ujar beliau, perlu wujud pembaharuan dan visi baharu berhubung peranan yang boleh dimainkan oleh Parlimen dan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk memenangi peperangan melawan wabak Covid-19.

“Rakyat Malaysia tidak ingin melihat krisis perlembagaan berlaku dalam apa jua bentuk, tetapi mahu setiap rakyat Malaysia, termasuk yang berjawatan dalam Eksekutif dan Badan Perundangan untuk tetap fokus dalam mencapai matlamat untuk memenangi peperangan melawan pandemik Covid-19 – dan ini harus menjadi fokus utama negara, tidak kira dalam tempoh setahun atau dua tahun.

“Benarkan semua rakyat Malaysia untuk menunjukkan kepada dunia bahawa kita mampu memenangi peperangan melawan pandemik Covid-19 dan kita mempunyai mentaliti seolah-olah negara sedang beperang serta bersatu menentang musuh bersama yang membunuh rakyat Malaysia setiap hari dan mengancam untuk memusnahkan fabrik sosial masyarakat Malaysia,” katanya.

(Visited 216 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button