Kit Siang ibarat `menepuk air di dulang, terkena muka sendiri’?
.
Komentar
BAGUSLAH Penasihat DAP, Lim Kit Siang sudah `tersedar’ bahana penyebaran berita-berita palsu dan ucapan berbaur kebencian.
Kit Siang pasti maklum betapa menularnya berita-berita palsu seumpamanya yang dibangkitkan gabungan pembangkang yang dianggotainya setahun dua sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 lepas.
Menjelang `bapak segala PRU’ itu, berita dan ucapan berupa dakyah, fitnah dan tohmahan begitu berbahang.
Bukan sedikit bahan-bahan yang bercampur baur betul salah itu hinggakan membadai teruk kerajaan terdahulu.
Serangan-serangan dahsyat ini terutama dalam dua tahun menjelang PRU 9 Mei 2018 itu dari berdikit-dikit, menjadi `berguni-guni’ pula.
Bahkan, ada mengakui dek penangan itu mengakibatkan penguasaan 61 tahun Barisan Nasional (BN) berakhir. Suara Merdeka tidak mahu komen tanggapan itu.
Mungkinkah Nga Kor Ming, Hew Kuan Yau (Superman Hew) atau Rafizi Ramli tahu siapa di sebalik tabir `pelempar cakera’ dakyah, fitnah dan catatan-catatan palsu ini?
Malah, Suara Merdeka teringat isu yang pernah disebar oleh seorang pemimpin wanita dari PKR di laman Facebook dan Twitternya bertarikh 8 April 2018 yang mencatatkan “9 tahun Najib Razak memerintah, dihapuskan pelbagai subsidi termasuk minyak masak, petrol dan gandum.
Bukankah itu suatu catatan palsu, yang tentunya Kit Siang tahu siapa gerangannya itu?
Terimbas juga akan tindak tanduk Kor Ming yang menyiarkan sekeping foto pemimpin kerajaan dan isterinya bersama-sama beberapa anggota Kabinet dalam laman Facebooknya pada 29 Mac 2015. Penyiaran gambar itu diiringi dengan kata-kata yang merendah-rendahkan mereka.
Ekoran itu, pemimpin kerajaan terbabit pada 11 Jun tahun sama memfailkan saman terhadap Kor Ming atas
dakwaan tulisan Kor Ming itu memfitnah mereka dan mudah diakses para pengguna Internet di seluruh dunia.
Beliau mendakwa kenyataan Kor Ming itu antara lain, membawa maksud beliau menyalahgunakan kuasa dan mandatnya sebagai perdana menteri untuk kepentingan sendiri dan isteri beliau.
Bagaimanapun isu itu selesai pada Mei 2016 selepas wakil rakyat DAP itu menzahirkan perasaan kesalnya yang mendalam kerana penyiaran gambar itu.
Begitulah orang Melayu yang terkenal dengan sifat pemaafnya meskipun Kor Ming masih tidak serik-serik dengan tindak tanduk kontroversinya selepas itu, antaranya sanggup pula memuatkan ucapan Aidilfitri bertemakan negara asing dalam Facebooknya. Beliau menyertakan gambar rumah api berlatarbelakangkan bendera Amerika Syarikat dan diselitkan perkataan In God We Trust serta Lord, Guide Our Nation Back To You dan motif tangan berdoa.
Apapun, hanya selepas Pakatan Harapan menang sahaja, Kor Ming kelihatannya insaf diri dan dalam temubual dengan sebuah akhbar yang ditamatkan operasinya 9 Oktober lalu, beliau menganggap itu semua `kisah lama dan akan belajar daripada kesilapan dahulu serta harus memperbaiki diri’.
Ya, hari ini lisan barangkali tidak lagi berkata-kata. Tetapi itu tidak bermakna kita tidak berkomunikasi. Lidah mungkin diam, tapi tangan sedang bingit `berkata-kata’.
Kita sekarang menjadikan media sosial sebagai medan perbualan. Berkomunikasi di Facebook, Twitter, Instagram, Whatsapp, Telegram dan bermacam-macam aplikasi yang muncul.
Di zaman ini, apa yang Allah dan Rasul ingatkan tentang bahaya lisan, bukan lagi lisan yang melakukannya. Di akhir zaman, tangan mengambil alih perbuatan lisan. Kecelaan tangan bukan lagi pada mencuri, merompak, memukul, dan senarai-senarai klasiknya. Kecelaan tangan ialah pada tingkah lakunya sebagai penaip perkataan di alam tersebarnya qalam!
Apa pun, kebimbangan yang disuarakan oleh Kit Siang itu sememangnya berasas. Eloklah tidak ada lagi berita-berita palsu mendominasi media sosial.
Cukuplah sekadar fakta-fakta yang berlegar – SM