Politik

Kiandee ketuai Bersatu, PN Sabah

Naib Presiden Bersatu, Ronald Kiandee dilantik sebagai ketua Bersatu Sabah dan juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri itu.

Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin yang mengumumkan perkara itu berkata, Bersatu Sabah kekal wujud dan berfungsi, walaupun Ketua Bersatu Sabah yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Hajiji Noor bersama pemimpin tinggi lain mengumumkan keluar parti semalam.

Beliau yang juga pengerusi PN berkata, Kiandee yang juga Ahli Parlimen Beluran, kini bertanggungjawab menyelia dan menguruskan Bersatu serta PN Sabah sehingga penyusunan semula diputuskan Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dan Majlis Tertinggi PN.

Muhyiddin turut menyuarakan kekecewaannya dengan sikap bekas pemimpin Bersatu Sabah yang tidak menunjukkan kesetiaan kepada parti yang meletakkan mereka pada kedudukan tinggi selepas pilihan raya negeri pada September 2020.

“Saya percaya ahli-ahli Bersatu di Sabah yang setia dengan perjuangan parti akan terus kekal berada di dalam Bersatu yang merupakan parti komponen PN di peringkat persekutuan,” katanya.

Mengenai kedudukan empat Ahli Parlimen Bersatu yang bertanding menggunakan logo GRS pada PRU15, Muhyiddin berkata, kedudukan mereka akan ditentukan berdasarkan undang-undang anti-lompat parti di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.

Empat Ahli Parlimen itu adalah Armizan Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang).

Armizan dan Khairul kemudiannya dilantik Perdana Menteri, Anwar Ibrahim sebagai menteri hal ehwal Sabah dan Sarawak serta timbalan menteri pelancongan, seni dan kebudayaan.

Semalam, Hajiji mengumumkan beliau dan pemimpin Bersatu Sabah lain meninggalkan parti itu dan akan menubuhkan parti tempatan baharu.

Katanya, keputusan sebulat suara itu dibuat berdasarkan status quo “tidak boleh dipertahankan lagi”.

Bersatu adalah parti komponen PN yang merupakan pembangkang di peringkat persekutuan. Tetapi, di Sabah, Bersatu adalah parti komponen GRS yang menyokong kerajaan perpaduan Anwar.

(Visited 292 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button