Nasionalpilihan

Khenduri Muhibbah di Jonker Walk

Kerajaan negeri akan menganjurkan Khenduri Muhibbah menghimpunkan tiga kaum utama Melayu, Cina dan India akan diadakan Ogos ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, kenduri tersebut akan diadakan di Jalan Harmoni atau dulunya dikenali sebagai Jalan Tukang Besi di Jonker Walk.

Beliau berkata, lebih menarik ia akan diadakan di tiga rumah ibadat yang terletak bersebelahan iaitu Masjid Kampung Keling, Kuil Sri Poyyatha Vinayagar Moorthi dan Tokong Cheng Hoon Teng.

“Saya pernah cakap nak buat khenduri muhibbah di mana kita di Melaka terdapat satu jalan yang menempatkan masjid, kuil hindu dan tokong cina bersebelahan.

“Saya dah rancang sama ada Ogos atau September ini kerana saya mahu menghimpunkan tiga elemen agama di Malaysia ini akan diraikan bersama,” ujarnya kepada pemberita selepas merasmikan Program Korban Berkelompok di Dataran Mata Kuching, Jalan Taming Sari di sini hari ini.

Program anjuran Surau Al-Taqwa bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Mata Kuching menumbangkan lapan ekor lembu dan seekor kambing.

Mengulas lanjut Abdul Razak berkata, khenduri tersebut diadakan bertujuan untuk mempromosikan kebudayaan melibatkan tiga kaum terbesar di negara ini.

Katanya, program tersebut juga akan dimasukkan ke dalam kalendar sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Menurutnya, antara pengisian pada program itu setiap rumah ibadat akan menganjurkan majlis keagamaan masing-masing mengikut giliran.

“Selepas itu barulah kita bergotong-royong menyediakan juadah untuk khenduri muhibbah yang dijangka kira-kira 2,000 orang akan hadir,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau berkata, kerajaan negeri akan menganjurkan
Festival Tahun Melawat Melaka 2024 di Pusat Pelancongan Malaysia
(MaTic) Jalan Ampang, Kuala Lumpur dari 13 hingga 16 Julai ini.

Menurutnya, antara pengisiannya festival itu ialah setiap agensi kerajaan dan swasta akan mempamerkan pelbagai produk dan pakej-pakej pelancongan yang terdapat di Melaka. – SM

(Visited 109 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button