Sukan

Khairul Hafiz lebih fokus kuartet 4×100 meter

MASALAH kecederaan menjadi punca jaguh pecut 100 meter lelaki, Khairul Hafiz Jantan gagal berada pada prestasi sebenarnya bagi acara kegemarannya.

Sebaliknya atlet kelahiran Melaka itu kini memberi tumpuan penuh dalam acara 4×100 meter selepas kejayaan meraih pingat gangsa pada temasya Sukan SEA Ke-32 Kemboja berakhir baru-baru ini.

Menurutnya, dia tetap akan bertanding dalam acara 100 meter namun tidak meletakan sebarang sasaran pada Kejohanan Trek dan Padang Asia (ATF) di Bangkok, Thailand bulan depan.

“Saya sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan yang dialami namun buat masa ini tumpuan saya lebih kepada acara 4×100 meter walaupun saya bertanding dalam acara 100 meter.

“Saya lebih fokus dalam acara 4×100 yang dilihat boleh meraih pingat berikutan kehadiran rakan sepasukan Muhammad Azeem Mohd. Fahmi yang akan balik dari Amerika Syarikat (AS) nanti.

“Dia (Muhammad Azeem) akan memperkuatkan kuartet 4×100 meter di ATF serta temasya Sukan Asia September nanti,” ujarnya di sini semalam.

Dia ditemui selepas menerima isentif kemenangan berjumlah RM6,000 atas kejayaan meraih gangsa dalam acara 4×100 meter di Sukan SEA Kemboja baru-baru ini.

Majlis penyampaian isentif telah disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

Khairul Hafiz berkata, kuartet negara berazam untuk mencatat masa terpantas berbanding catatan di Kemboja bagi melayakkan diri bertanding di Sukan Asia September nanti.

Menurutnya, kehadiran Muhammad Azeem yang memecahkan rekod kebangsaan dengan catatan 10.09 saat menjadi penguat semangat untuk mencipta kejayaan di Kejohanan Trek dan Padang Asia

“Kehadiran Muhammad Azeem akan menjadikan dia sebagai pelari terakhir manakala saya akan kembali sebagai pelari pertama,” ujar atlet itu yang pernah mencatat masa terpantas peribadinya 10.18 saat memecahkan rekod kebangsaan pada Sukan Malaysia (Sukma) 2016.

Katanya, pada pusingan kelayakan 100 meter di Kemboja dia hanya mampu mencatat kepantasan 10.36 saat. – SM

BACA Kuartet Merdeka bantu publisiti Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia

BACA Bekas pelari pecut negara Anita Ali meninggal dunia

(Visited 95 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button