Khairi & Shafiq berentap buru pusingan kesepuluh Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix
Pusingan kesepuluh Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix akan menyaksikan dua pelumba sepasukan, Md Khairi Asyraf dan Md Shafiq Ezzariq berentap.
Kedua-duanya dari pasukan Jetron Yamaha YYPang dan masing-masing mempunyai impian untuk dinobatkan sebagai juara bagi kategori CP125.
Musim ini agak berbeza bagi pasukan YYPang lebih-lebih dengan pencapaian mereka secara keseluruhan berbanding dengan pencapaian mereka pada musim lepas.
Keputusan yang telah diambil untuk menempatkan dua pelumba mereka dari kategori CP150 ke kategori CP125 telah membuahkan hasil sepanjang musim ini.
Khairi Ashraf dan Shafiq Ezzariq bukan sekadar memberikan saingan hebat kepada pelumba lain malah menaikkan tahap penanda aras bagi kategori tersebut dengan persembahan mereka yang menakjubkan.
Sepanjang musim ini, Khairi Ashraf telah menaiki podium sebanyak lima kali termasuk tiga kemenangan manakala Shafiq Ezzariq berjaya menaiki podium sebanyak lima kali termasuk satu kemenangan.
Kedua-dua pelumba tersebut masing-masing memegang sebanyak 154 and 130 mata secara keseluruhan.
Walaupun peluang Khairi Ashraf lebih cerah berbanding dengan Shafiq Ezarriq, Khairi Ashraf masih perlu mengekalkan momentum yang baik dan mengelak sebarang kesilapan untuk memastikan takhta kejuaraan jatuh ke tangannya.
Menurut Khairi, matlamatnya untuk pusingan ini sama seperti di setiap pusingan, iaitu untuk cuba sebaik mungkin untuk menjejak kaki di podium.
“Dari segi jentera, tiada perbezaaan. Pasukan saya sentiasa memastikan keadaan jentera adalah pada tahap yang optimum.
“Paling penting adalah untuk menyesuaikan diri menggunakan jentera dan mencari setup yang akan memberikan prestasi yang bagus,” katanya.
Secara personal, Khairi lebih fokus kepada persiapaan fizikal kerana litar Batu Kawan adalah litar yang agak mencabar baginya.
“Berbanding dengan litar lain, litar Batu Kawan mempunyai selekoh-selekoh yang sukar dan memang memerlukan 100 peratus fokus maka persiapan mental juga agak penting.
“Secara keseluruhan, musim ini agak baik bagi saya kerana kami sepasukan dapat mengekalkan kedudukan di tangga pertama. Itu adalah suatu pencapaian yang memuaskan bagi saya,” katanya.
Sehubungan itu, Khairi berharap dapat mengekalkan prestasinya dan tidak melakukan sebarang kesilapan supaya dapat menjuarai kategori CP125 pada musim ini.
Sementara itu, Shafiq berkata, matlamatnya pula adalah untuk memenangi pusingan kesepuluh.
“Peluang untuk perebutan takhta masih terbuka maka saya akan cuba sedaya mungkin untuk memberikan yang terbaik agar dapat mengumpul sebanyak mata yang mungkin.
“Apa-apa boleh berlaku sewaktu perlumbaan, oleh itu, saya akan cuba kurangkan kesilapan dan fokus untuk menang.
“Dari segi jentera, tiada perbezaan di antara jentera saya dan jentera rakan sepasukan saya. Dari segi persiapan, mekanik memang bertungkus lumus membuat persediaan yang terbaik supaya prestasi kami sentiasa bagus. Jentera sentiasa dalam keadaan optimum untuk perlumbaan oleh itu, kami tidak perlu risau dari aspek jentera.
Ujar Shafiq, dia perbanyakkan latihan supaya dirinya sentiasa bersedia dari segi fizikal dan mental seperti banyak latihan di gym dan jogging untuk menguatkan badan dan kekalkan stamina.
Shafiq juga berpendapat, litar Batu Kawan adalah menarik, suatu litar yang teknikal dan mempunyai suatu bahagian yang lurus dan ada juga “roundabout” yang membuatkannya mencabar.
“Saya rasa saya tidak mempunyai masalah di litar tersebut. Buat masa kini, sukar untuk pastikan kelebihan dan kekurangan. Mungkin lebih jelas apabila kita berada di dalam litar.
“Musim ini adalah mencabar tetapi juga menarik. Sudah lama saya tidak untuk perebutan takhta tetapi musim ini agak lain kerana saya akan “fight” dengan teammate saya sendiri,” katanya
Shafiq berkata, pusingan kesepuluh ini juga telah memberikannya keyakinan selepas kemalangan teruk dahulu dan berpeluang memperbaiki cara tunggangannya.
“Pada suatu ketika, saya memang fobia untuk menaiki motor tetapi pengalaman ini telah memberikan saya azam baharu. Maka saya amat bersyukur,” jelas Shafiq.