Jenayah

Ketukan misteri kembali, penduduk resah

MELAKA 28 Jan. – Bunyi ketukan misteri tanpa salam kini menyelubungi penduduk di tiga buah kampung di Tanjong Kling, Melaka, dekat sini sejak seminggu lalu.

Hampir setiap malam antara tiga atau empat buah rumah mengalami kejadian ketukan misteri tanpa kelibat manusia atau individu ditemukan di tempat kejadian.

Penduduk di tiga buah kampung terlibat iaitu Kampung Kelongkong, Kampung Balik Bukit dan Kampung Simpang Tanjong kini dilanda rasa takut ekoran kejadian yang berlaku.

Sehingga kejadian tersebut melibatkan 19 buah rumah sejak seminggu lalu hingga semalam.

Malam tadi (Khamis) kejadian ketukan misteri itu dialami dua penduduk di Kampung Balik Bukit dan Kampung Kelongkong.

Misteri ketukan misteri masih belum terjawab hingga kini membuatkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Tanjong Kling tidak dapat mencari individu terlibat atau mereka dengan sengaja mengganggu penduduk.

Pengerusinya, Khairulazni Baharuddin berkata, beliau telah mengumpulkan penduduk kampung membentuk
sebuah pasukan untuk memantau kejadian ketukan misteri bermula malam tadi.

“Empat aduan kami terima dan apabila pergi ke tempat kejadian tidak nampak kelibat manusia berhampiran rumah terbabit.

“Kami semua jadi hairan kejadian ini sebenarnya dan tidak pasti sama ada ini disebabkan ‘benda halus’ atau ada individu yang sengaja buat penduduk jadi kelam kabut.

“Walau apa pun penduduk sudah mula berkawal di tiga buah kampung dan kita akan pantau mungkin ada pihak tidak bertanggungjawab lakukan ketukan itu,” ujarnya ketika ditemui hari ini.

Sementara itu seorang penduduk Nurulasnida Azhar, 34, berkata, dalam kejadian pukul 1.04 pagi tadi, tingkap bilik tidurnya diketuk sebanyak dua kali.

Menurutnya, kejadian ketukan pertama berlaku sewaktu dia hendak tidur bersama suaminya.

Namun katanya, dia dan suaminya terjaga apabila ketukan kedua yang lebih kuat menyebabkan mereka terjaga dan membuka tingkap tetapi tidak ternampak kelibat manusia atau individu.

“Saya dan suami jadi pelik sebab kalau ada ada manusia sudah tentu kami dengar tapak kaki berlari tetapi tidak pula kedengaran orang berlari.

“Sebelum ini rumah makcik saya turut mengalami insiden tersebut beberapa hari lalu. Saya mula tidak percaya tetapi apa yang saya alami barulah saya rasa pengalaman pelik,” ujarnya.

Katanya, perkara itu telah dimaklumkan kepada JPKK yang tiba di rumahnya namun tidak menemui sebarang petanda kehadiran individu lain di rumahnya di Lorong Haji Mohd. Noor, Kampung Balik Bukit.

Seorang lagi penduduk, Zalina Karim, 50, pula berkata, dua hari berturut-turut pada Selasa dan Rabu lepas, tingkap rumahnya diganggu dengan bunyi ketukan misteri.

Katanya, dalam kejadian pertama kira-kira pukul 12.00 tengah malam, tingkap bilik anaknya diketuk berkali-kali namun apabila suaminya keluar meninjau tidak ternampak kelibat manusia.

“Saya dan suami pelik dengan kejadian itu tetapi tidak ambil kisah namun apabila keesokan malamnya tingkap cermin rumah di belakng pula diganggu dengan ketukan yang sama tetapi tidak nampak orang yang melakukannya,” ujarnya yang tinggal di Kampung Balik Bukit.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button