Nasional

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dituntut mohon maaf secara terbuka kepada pegawai Imigresen

KESATUAN Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) yang mewakili 14,000 orang pegawai Imigresen di seluruh negara hari ini melahirkan rasa terkilan dan kecewa dengan tingkah laku seorang pegawai tinggi awam kerajaan berjawatan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) yang telah menengking dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia yang sedang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Presidennya, Khairil Nisa Khairuddin berkata, kejadian berlaku semalam, 3 Ogos 2022 antara pukul 8.40 pagi hingga 9.40 pagi di Balai Berlepas, KLIA.

Beliau menjelaskan, insiden bermula apabila tiada pegawai Imigresen ditempatkan di kaunter bilik VIP KLIA.

“Sememangnya pegawai Imigresen tidak ditempatkan di kaunter bilik VIP secara 24 jam kerana keperluan pegawai bertugas di kaunter biasa lebih diperlukan berbanding kaunter bilik VIP yang hanya akan dibuka apabila ada keperluan dan mendapat pemakluman awal,” katanya.

Katanya, pegawai ini yang bertugas sebagai Ketua Operasi Imigresen KLIA telah dipanggil, ditengking dan diherdik serta diminta supaya berdiri tegak di tengah khalayak ramai oleh KPPA.


Khairil Nisa berkata, tindakan yang tidak profesional oleh seorang pegawai tertinggi kerajaan ini dan kata-kata yang dilepaskan dalam nada menengking di hadapan orang ramai serta kakitangan Imigresen lain yang sedang bertugas merupakan satu sikap biadap serta tidak menghormati entiti perkhidmatan awam itu sendiri.

“Pegawai Imigresen lain yang berada di tempat kejadian turut merasa terhina di khalayak ramai atas tindakan KPPA tersebut,” katanya.

Beliau berkata, sikap KPPA yang mahukan layanan VVIP juga menunjukkan sikap pentingkan diri serta tidak cakna dengan kesusahan rakyat dan orang awam lain yang sabar beratur menunggu giliran dalam melepasi pemeriksaan di kaunter biasa yang lain.

“Beliau tidak dapat mencontohi kepimpinan sepertimana KPPA sebelumnya dan tidak layak menjawat jawatan tersebut,” tambahnya.

Katanya, pegawai yang ditengking serta diperlakukan sedemikian rupa adalah merupakan seorang pegawai yang cekap, berhemah dan sentiasa responsif dengan sebarang situasi di tempat kerja.

Malah katanya, pegawai ini bertugas dengan penuh dedikasi dalam memastikan urusan keluar masuk dan operasi pemeriksaan penumpang di KLIA berjalan dengan lancar.

“Kejadian ini amat mengguris hati pegawai Imigresen lain keseluruhannya,” katanya.

Sehubungan itu katanya, KPISM menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada KPPA kepada pegawai tersebut dan kepada JIM keseluruhannya.

Katanya, KPISM juga menggesa kepada kerajaan dan CUEPACS agar memandang serius perkara ini dan satu tindakan perlu diambil kepada penjawat awam yang sombong serta angkuh seperti ini.

Berikutan itu, tambahnya KPISM juga menyokong penuh segala tindakan yang akan diambil oleh Ketua Pengarah Imigresen Malaysia dalam perkara ini demi memartabatkan maruah pegawai di Jabatan Imigresen Malaysia.

Katanya, seharusnya seorang pegawai tertinggi perkhidmatan awam perlu menunjukkan contoh dan teladan yang baik kepada penjawat awam yang lain serta kepada rakyat keseluruhannya.

Sementara itu menurut kenyataan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang dikeluarkan pagi ini pula menyifatkan dakwaan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam, sebagai tidak berasas dan berniat jahat untuk menjatuhkan imej beliau sebagai pegawai tinggi kerajaan.

JPA memaklumkan KPPA berkenaan menegur pihak Imigresen di KLIA khususnya pegawai bernama James Lee berikutan ketidakpatuhan amalan dan prosedur apabila pegawai tidak menyemak dokumen perjalanan dan pasport KPPA serta delegasi ke luar negara.

Kenyataan itu menyebut, delegasi terbabit diarahkan terus ke kaunter pemeriksaan Kastam untuk meneruskan perjalanan.

“JPA berpandangan bahawa ketidakpatuhan dalam menyemak dokumen imigresen seperti pasport adalah satu kesalahan yang serius di sisi udang-undang,”. – SM

(Visited 441 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button