Ketua Hospital Wuchang disahkan meninggal dunia akibat koronavirus
KETUA hospital Wuchang, di Wuhan yang dibina khusus untuk merawat pesakit koronavirus atau COVID-19, meninggal dunia akibat dijangkiti virus itu, memetik laporan China Central Television (CCTV) pada Selasa, lapor agensi berita Sputnik.
Pada Isnin, akhbar People Daily melaporkan Liu Zhiming, yang mengetuai hospital sementara itu telah meninggal dunia, walaupun media lain melaporkan beliau masih berjuang melawan penyakit.
Menurut CCTV, Liu, 51, meninggal dunia pada 10.30 pagi waktu tempatan (02:30 GMT) pada Selasa. Beliau menjadi ketua pusat perubatan sementara pertama yang meninggal dunia akibat virus itu.
Terdapat dua buah hospital sementara – satu daripadanya Hospital Wuchang – dibina di Wuhan dalam waktu yang singkat untuk merawat pesakit dijangkiti virus maut itu.
COVID-19 pertama kali dikesan di Wuhan, di wilayah Hubei pada akhir Disember dan sejak itu virus menular ke lebih 20 negara. Angka korban di tanah besar China melebihi 1,800 orang dan jumlah kes disahkan sebanyak 72,400. – BERNAMA