Bola SepakSukan

Keterujaan peminat terhadap Safawi, Luqman

SEJAK dua pemain negara, Luqman Hakim Shamsudin dan Safawi Rasid terbang ke Eropah, keterujaan peminat bola sepak di Malaysia kian memuncak.

Hampir saban hari ada sahaja cerita tentang dua pemain muda ini dan ia pasti meraih perhatian luar biasa daripada peminat yang sudah lama menanti untuk menyaksikan anak Malaysia beraksi di pentas liga utama benua tersebut.

Safawi dan Luqman bukanlah anak Malaysia pertama yang mencuba nasib berkelana di Eropah, tetapi peluang yang dimiliki mereka pada kali ini jauh lebih baik berbanding pemain-pemain terdahulu.

Sebelum ini, pemain Malaysia yang menerima pendedahan di Eropah tidak berpeluang beraksi dalam liga utama, tetapi hanya bermain bersama pasukan kerdil daripada divisyen yang jauh lebih rendah.

Justeru dapat difahami mengapa peminat di negara ini begitu teruja, sehingga komentar-komentar mereka memenuhi dalam ruangan komen media sosial kelab yang diwakili Luqman mahupun Safawi.

Keterujaan itu semakin memuncak, apabila pemain remaja berusia 18 tahun, Luqman diberi kesempatan beraksi bersama skuad utama KV Kortrijk sewaktu menentang Anderlecht, hujung minggu lalu.

Dalam aksi di Stadium Guldensporen di Kortrijk itu, pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan tersebut di bawa masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-74 bagi menggantikan Petar Golubovic, sekaligus memperkenalkan dirinya dalam saingan liga utama Belgium.

Walaupun hanya beraksi selama 16 minit baki permainan, bekas pelatih Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari (AMD) itu berjaya memberi impak dengan gerakan serta lariannya hingga membolehkan KV Kortrijk dihadiahkan sepakan penalti pada penghujung perlawanan.

Pencapaian itu merupakan satu catatan sejarah dalam bola sepak negara, apabila Luqman muncul anak Malaysia pertama tampil beraksi dalam liga utama di Eropah.

Namun, berbeza pula nasib rakan senegara, Safawi yang perlu bersabar menantikan peluangnya untuk bermain bersama skuad utama kelab Liga Perdana Portugal, Portimonense S. C.

Sejak menyertai Portimonense menerusi pinjaman jangka panjang dari kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi hanya diberi peluang beraksi bersama pasukan bawah 23 tahun kelab itu.

Bagaimanapun, dapat difahami mengapa Portimonense berbuat demikian kerana Safawi perlu terlebih dahulu menyesuaikan diri dengan corak permainan pantas di Eropah.

Begitu juga dengan Luqman yang lebih awal ke Belgium, telah menerima pendedahan beraksi bersama skuad remaja KV Kortrijk, sebelum dia berjaya mencuri perhatian pengendali pasukan utama, Yves Vanderhaeghe.

Rasa tidak sabar peminat yang mengikuti rapat perkembangan kedua-dua pemain negara itu wajar dikendurkan, bagi memberi peluang kepada Safawi dan Luqman menimba pengalaman terlebih dahulu sebelum aksi mereka dapat disaksikan secara tetap dalam liga utama di Portugal mahupun di Belgium.

Memetik pandangan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengenai Safawi, beliau berkata: “Saya rasa penyokong bola sepak tanah air kena faham proses.

“Pemain kita datang daripada ranking rendah di dunia dan apabila pemain kita ke luar negara, mereka akan ada pesaing dalam pasukan mereka sendiri seperti Brazil, Colombia atau Ukraine yang berada di ranking sangat tinggi dalam dunia.

“Dari kecil lagi pemain ini telah mendapat pendidikan bola sepak yang jauh lebih tinggi daripada kita di sini.

“Jadi walaupun pemain kita berbakat, mereka perlu masa untuk berkembang. Kita kena hormati masa yang diberikan oleh kelab tersebut dan kita kena percaya proses tersebut.”

Memang benar seperti kata TMJ itu, kefahaman daripada peminat amat penting agar Safawi dan Luqman dapat memulakan karier mereka di Eropah dengan tenang.

Bagaimanapun, bukan semua peminat negara ini yang bersikap demikian, malah, ramai juga dalam kalangan mereka begitu memahami dan mempunyai pengetahuan yang jelas tentang proses yang perlu dilalui Luqman serta Safawi.

Sebagai rakyat Malaysia amat penting untuk kita sama-sama mendoakan kejayaan kedua-dua anak muda tersebut dan berilah sokongan yang sewajarnya agar perjalanan karier mereka akan dapat membawa sinar kepada bola sepak di tanah air.

Buat Safawi dan Luqman, selamat maju jaya kepada anda berdua, sesungguhnya doa seluruh rakyat Malaysia mengiringi perjuangan kalian dan jangan sesekali lupa di mana sahaja anda melangkah peliharalah maruah serta nama baik agama, bangsa dan negara. – SM

 

(Visited 265 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button