fbpx
Nasional

Kesetiaan, pengorbanan Hasni berbaloi

KOMENTAR

PENGERUSI Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad yang mengangkat sumpah Menteri Besar Johor ke-18 hari ini, sentiasa menyematkan dalam dirinya bahawa keharmonian antara kaum merupakan kekuatan UMNO Johor.

Konsep itulah yang dipertahankan demi survival UMNO dan Barisan Nasional (BN) Johor yang turut diketuainya.

Suara Merdeka masih ingat dalam satu pertemuan dengan Hasni di Johor Bahru semasa berkhidmat dengan sebuah akhbar sebelum pilihan raya kecil Tanjung Piai 16 November tahun lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut itu ditanya akan andaian banyak pihak terutama dari dalam UMNO sendiri bahawa calon MCA akan kalah jika bertanding di kerusi tersebut.

Ini jawapan Hasni dengan nada yakin:
“Tanggapan ini realitinya tidak sihat di masa depan kalau Melayu hanya sokong Melayu, Cina hanya sokong Cina. Di Johor ini banyak juga kerusi marginal di mana sokongan kedua-dua bangsa itu perlu untuk perkuatkan bangsa Johor. Kita tidak boleh nafikan sumbangan satu-satu kawasan dalam kerusi marginal.

“Kita tidak boleh hantar mesej yang salah dalam PRK ini. Sesuatu kawasan itu bukan hanya satu-satu kaum tentukan kemenangan. Dalam PRU ke-14 lepas, calon BN tidak mungkin kalah kalau orang Melayu berdiri teguh di belakang UMNO. Akhirnya terbukti kalah.


“Dalam aspek ini UMNO perlu perkuatkan sokongan dalam kalangan orang Melayu dan MCA perlu kuat untuk dapatkan sokongan bukan Melayu. Kita sedari di Johor sama ada pengundi Melayu 55 peratus dan 45 peratus Cina, selama ini Johor telah berjaya memupuk suasana muafakat yang baik antara kaum.”

Terbukti prinsip yang dipegang oleh Hasni selaku Pengarah Pilihan Raya BN Tanjung Piai itu berbaloi, dengan kemenangan besar calon BN dari MCA, Datuk Seri Wee Jeck Seng dengan majoriti 15,086 undi berbanding kekalahan Jeck Seng 524 undi dalam PRU-14 .

Bak berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Bukan mudah untuk Hasni memikul tanggungjawab ketua pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU-14).

BN yang ditunjangi UMNO tewas selepas memerintah selama 61 tahun. Kerusi Parlimen yang diperoleh pula jauh merosot kepada hanya 79 berbanding 133 pada PRU-13.

UMNO, tunjang kepada BN hilang 34 kerusi apabila hanya menang 54 kerusi berbanding 88 kerusi pada PRU-13.

Di Johor, negeri yang melahirkan UMNO, tetapi kalah mengejut 9 Mei 2018 sekadar mengaut 19 daripada 56 kerusi DUN, lagilah getir cabarannya.

Selaku ketua pembangkang, Hasni menyuarakan kerisauannya kepada penulis andai kata masih ada lagi orang UMNO yang berfikiran lama.

Yakni, masih nak balik macam dulu waktu berkuasa. Kononnya UMNO masih pegang rekod parti dominan – yang paling banyak kerusi berbanding parti-parti dalam kerajaan baharu.

Kata Ketua UMNO Bahagian Pontian itu yang tampak berterus-terang semasa diajukan soalan adakah gabungan UMNO-MCA-MIC yang membentuk gabungan baharu Barisan Nasional (BN) masih relevan,
meluahkan:
“Ini suatu cabaran besar, zaman UMNO macam itu (sebagai tunjang BN) cukup-cukuplah selama 61 tahun ini.
“Sewajarnya kita perlu lebih cenderung membentuk sistem dua parti. UMNO mungkin boleh menang dalam kawasan Melayu atau luar bandar. Siapa nak jadi wakil rakyat atau calon pilihan raya? UMNO lah di situ
asal sahaja UMNO mahu cepat berubah.

“Sebab itu kalau dapat meyakinkan atau convince masyarakat terhadap sistem dua parti ini dengan UMNO membuang pemikiran lamanya, kita boleh berjaya,” kata Hasni.

Tetapi bagaimana pun dengan kedudukan MCA atau MIC? Kata Hasni lagi:
“MCA bertandinglah antara mereka berdua, maksud saya menentang DAP sahaja. UMNO tak perlu masuk bersaing di kawasan marginal, cuma bertanding dalam populasi 80 peratus Melayu.

“Ini kerana UMNO lebih faham situasi ini dan diterima kalau bercakap pasal orang Melayu.”

Biarpun dijanjikan ketelusan atau keterbukaan daripada kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini, Hasni mengakui beliau perlu realistik dengan suasana politik waktu itu bahawa UMNO bukan lagi parti pemerintah.

“Sebagai ketua pembangkang, saya diperuntukkan RM100,000 oleh kerajaan Pusat. Tanpa staf dan dengan satu pejabat disediakan dalam DUN, ia menampakkan tidak ada kesungguhan daripada pemerintah ke arah mendukung sistem dua parti ini.

“Dulu kata nak lantik ketua pembangkang sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) negeri, tapi kemudian mahu lantik dari DAP…tiada kesungguhan, sedangkan kita setuju perlu ada checks and balances (semak dan imbang). Kita (UMNO) nak jadi pembangkang yang credible, tapi kekangan semua ini akan melambatkan pembaharuan.

“Dahlah susah sangat nak ubah dari pembangkang kepada kerajaan, cakap sahaja, tapi tak laksanakan,” kata beliau.

Kesetiaan Hasni kepada UMNO tidak pernah dipertikai.

Beliau mengingatkan, UMNO masih mampu berdaya saing. Tidak ada kampung yang tiada cawangan UMNO berbanding pihak di `sebelah sana’ sehingga tiada pejabatpun.

Sambil mendedahkan bukan mudah untuk parti politik di Johor selain UMNO untuk menyusun atur perancangan mereka berdepan rakyat.

Hasni pernah dimaklumkan oleh seseorang dari parti sekutu kerajaan Pakatan Harapan yang meluahkan kerumitan membuat pelantikan ketua-ketua kampung sahaja.

“Kata dia, ketua-ketua kampung pun perlukan kuota, mesti ada kuota termasuklah kuota dari DAP.

“Bukan mudah nak uruskan isu ini,” kata Hasni yang bertanggungjawab menjaga kawasan luar bandar di Johor semasa era BN, yang memerlukannya berurusan dengan kira-kira 600 ketua kampung.

Hasni mahu orang UMNO terutama wakil rakyat khususnya di Johor supaya setia kepada parti.

Tegasnya:
“UMNO Melayu. Melayu itu UMNO. Jangan berhenti mengkritik sesiapa yang memperlekehkan orang Melayu. Mana boleh nak ubah Islam sebagai agama rasmi yang sudah terpahat dalam Perlembagaan,” katanya.

Pengorbanan Hasni untuk parti dan rakyat negeri Johor berbaloi.

Selamat bertugas Datuk Ir. Hasni Mohammad. -SM

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button