MahkamahNasional

Kes saman fitnah Ketua Hakim Syarie: Lokman Adam ‘terlepas’ bayar RM30 juta

Selesai luar mahkamah

SELESAI luar mahkamah. Itu jalan penyelesaian yang dipersetujui oleh Ketua Hakim Syarie, Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar yang memfailkan saman fitnah terhadap bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam.

`Lokman dikatakan membuat kenyataan berunsur fitnah terhadap Na’im berhubung kes gangguan seksual.

Ini susulan penghakiman persetujuan yang direkodkan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Rozana Ali Yusoff pada prosiding dalam talian hari ini yang turut dihadiri Na’im dan Lokman.

Peguam Na’im, Akberdin Abdul Kader berkata, Lokman mengemukakan permohonan maaf dan menzahirkan kekesalannya kerana beliau “disalah maklum” oleh pihak ketiga dan tidak membuat pengesahan dengan plaintif.

Beliau turut bersetuju untuk tidak mengulangi kenyataan yang menyinggung perasaan itu.


“Terma dan syarat lain penyelesaian tidak boleh didedahkan seperti yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak,” kata Akberdin kepada FMT.

Selain Akberdin, Na’im turut diwakili peguam Mohd Rafie Shafie manakala Logen Eskander dan Nur Fazilah Jaafar mewakili Lokman.

Logen mengesahkan dalam mesej teks kepada FMT perkembangan yang berlaku semasa prosiding.

Lokman mendakwa Na’im terlibat dalam beberapa kes gangguan seksual termasuk insiden beliau dikatakan berbaring bogel di dalam bilik tidur di rumah seorang wanita.

Na’im yang juga Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah memfailkan saman terhadap Lokman Adam dengan mendakwa Lokman Adam membuat kenyataan yang menghina di Facebook dan YouTube.

Pada 20 Januari lalu, Hakim Rozana memerintahkan Lokman menurunkan semua catatan berunsur fitnah yang dimuat naik di akaun Facebook dan YouTube dalam tempoh 24 jam selepas membenarkan permohonan injunksi ex parte oleh Na’im.

Na’im berkata, kenyataan itu membayangkan beliau seorang “penunggang agama”, gagal menjadi pemimpin yang berwibawa atau menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat serta mencemarkan imej baik Jabatan Kehakiman Syariah.

Katanya, beliau telah membuat laporan polis pada 12 Januari untuk menafikan dakwaan wanita itu, yang dikatakan seorang “Datin” dan terhadap Lokman atas penyiaran videonya.

Na’im menuntut RM30 juta sebagai ganti rugi am, teladan dan teruk. – SM

(Visited 269 times, 9 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button