Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyangkal dakwaan tidak menghormati dan mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan keputusan mahkamah koroner berhubung kes kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.
Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dalam satu kenyataan memaklumkan tiada fakta yang terpesong, tidak benar dan menyimpang pada sidang media dibuatnya, Jumaat lepas (10 Julai).
“Segala fakta yang diberikan adalah hasil siasatan serta dapatan terkini dan ia bukan untuk menyanggah hasil daripada keputusan inkues.
“Sehingga kini, kes Allahyarham Muhammad Adib tidak pernah ditutup, masih diteruskan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas keluarga Allahyarham Muhammad Adib melalui barisan peguamnya mendakwa PDRM jelas tidak menghormati serta bercanggah dengan keputusan mahkamah koroner.
Abdul Hamid menegaskan sehingga kini, tiada saksi yang benar-benar dapat menyatakan telah melihat Allahyarham Muhammad Adib dipukul dan kesemua keterangan yang diperoleh adalah bersifat ‘hearsay’ serta berupa pendapat.
“Usaha masih dijalankan bagi mengenal pasti pelaku-pelaku jenayah ini jika ada. Beberapa isu perlu disiasat dengan lebih lanjut ekoran daripada keputusan inkues.
“Sekiranya benar berlaku serangan sepertimana yang dinyatakan berdasarkan pendapat saksi dan pakar, pasti wujud kesan-kesan serangan dan pasukan siasatan masih memperhalusi perkara ini bagi mendapatkan suspek sebenar,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata pasukan siasatan juga sedang menjalankan siasatan lanjut ke atas saksi kerana didapati tidak konsisten dalam tiga peringkat rakaman percakapan sebelum ini.
“Begitu juga saksi-saksi lain yang telah memberikan keterangan dalam inkues kerana ada antara mereka yang mendedahkan maklumat atau keterangan baharu yang perlu disiasat terlebih dahulu.
“Isu ‘dying declaration’ perlu disiasat lanjut oleh pasukan siasatan kerana ia dikemukakan semasa inkues tanpa dicabar atau dinilai kredibiliti serta kesahihannya. PDRM boleh terus menjalankan sisatan melalui pelbagai sudut dan pendekatan bagi menyiasat segala kemungkinan dan seterusnya menyelesaikan kes ini.
“Tangkapan akan dibuat sekiranya terdapat bukti dan keterangan baharu sepertimana yang telah dilakukan sebelum kerajaan memutuskan untuk inkues dijalankan,” jelasnya.
Muhammad Adib, 24, yang bertugas sebagai anggota bantuan kecemasan Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, mengalami kecederaan parah dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov 2018 dan meninggal dunia di Institut Jantung Negara selepas 21 hari menerima rawatan.
Pada 27 Sept tahun lepas, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Muhammad Adib, adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui. – BERNAMA