Nasional

RM6 bilion anggaran kerugian banjir Disember lalu

RANTAU PANJANG: Lebih RM6 bilion kerugian akibat infrastruktur awam yang musnah, sektor pertanian dan rumah kediaman ditanggung ketika banjir besar yang melanda negara pada Disember tahun lalu yang menjejaskan beberapa negeri termasuk Selangor dan Pahang.

“Kerajaan menganggarkan lebih RM6 bilion kerugian dialami dalam banjir pada Disember tahun lepas,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

“Selain rumah milik mangsa banjir, kerosakan turut melibatkan beberapa jalan persekutuan di bawah penyelenggaraan Jabatan Kerja Raya (JKR), serta ternakan petani dan penternak.

“Selain jalan raya, aset kerajaan lain yang rosak akibat banjir termasuk jambatan, sekolah dan balai polis,” kata Mustapa yang juga anggota parlimen Jeli selepas melawat mangsa banjir di Kampung Kusar di sini petang semalam.

Dalam lawatan itu, Mustapa diiringi Ahli Parlimen Rantau Panjang Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff. Kedua-duanya turut menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir.

Mengenai banjir yang melanda Rantau Panjang baru-baru ini, Mustapa berkata kerajaan masih belum menerima jumlah sebenar kerugian yang dialami mangsa.

“Rantau Panjang merupakan kawasan paling teruk dilanda banjir di Kelantan. Saya dimaklumkan agensi berkaitan serta kerajaan negeri sedang melakukan yang terbaik untuk membantu mangsa.

“Banci jumlah kerosakan di Kelantan khususnya Rantau Panjang dijangka siap tidak lama lagi,” katanya.

Mustapa berkata kerajaan pusat hampir selesai mengagihkan bantuan ihsan RM1,000 kepada ketua isi rumah di negeri yang dilanda banjir.

 

(Visited 278 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button