JenayahNasionalUncategorized

Peka hindar ditipu penjenayah siber

MESTI peka dan jika inilah yang diamalkan oleh setiap individu di Perlis maka terselamatlah mereka daripada turut menjadi mangsa penipuan dalam dunia siber tanpa sempadan ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, Deputi Superitendan, Mohd Nor Daud berkata, setakat ini masih terdapat individu di negeri ini yang tidak terlepas daripada menjadi mangsa siber.

Beliau berkata, ini memandangkan pada sepanjang Februari bulan lalu, kes penipuan pembelian barang online sahaja berjumlah RM79, 672.

“Sebanyak enam individu yang membuat aduan di Kangar yang melibatkan kerugian RM20, 390, tiga aduan di Padang Besar (RM17, 827) dan lima aduan di Arau (RM41,455),” katanya di pejabatnya di sini hari ini.

Selain itu katanya, kes “macau scam” atau tipu penyamaran telah menyebabkan kerugian sebanyak RM94, 449.99 daripada 14 laporan yang dibuat pada Februari lepas.

Katanya, “love scam” pula melibatkan penipuan sejumlah RM33,400 yang dilaporkan oleh tiga mangsa pada bulan sama.

Mohd Nor berkata, masyarakat kena sedar bahawa dunia siber adalah lubuk “si penipu” mencari mangsa dengan mudah.

Beliau berkata, “si penipu” hanya menggunakan hujung jarinya mencari mangsa di segenap pelosok dunia.

“Si penipu boleh meraih duit banyak dengan sekelip mata sedangkan mangsa dibiarkan dalam keadaan fikiran buntu kerana mengalami kerugian,” katanya.

Sehubungan itu kata Mohd Nor, segera lapor dan jangan bersikap teragak-agak jika mana-mana individu mendapati diri sudah mangsa kepada apa sahaja yang melibatkan jenayah siber.

Polis memberi jaminan, laporan berbentuk panggilan atau mesej menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dan sebagainya akan dirahsiakan.

Beliau berkata, lagi lambat laporan dibuat sehingga berbulan-bulan maka ia sekaligus memberi ruang masa untuk suspek penjenayah dibiar bebas dan mencari mangsa lain pula.

“Biasanya dalam jenayah siber ini, mangsa tidak pernah bersua muka dengan suspek,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, untuk membuktikan kesalahan oleh suspek jenayah siber juga bukan tugas mudah serta memberikan cabaran besar kepada pihak polis.

“Suspek biasanya sangat bijak mengatur strategi untuk mengumpan mangsa contohnya dalam “love scam” ia mengambil masa berbulan-bulan menjalin hubungan tetapi akhirnya mendapat untung berkali ganda,” katanya.

Katanya, tektik menawar jualan murah untuk barangan mewah terus berlaku kerana suspek sangat memahami kelompok tertentu yang mempunyai kehendak tertentu.

Mohd Nor juga mengingatkan masyarakat jangan melayan panggilan daripada mana-mana suspek yang mendakwa kononnya daripada mana-mana jabatan kerajaan di negara ini.

Tambahnya, ini kerana setiap jabatan kerajaan hanya bertugas menjalankan sebarang urusan di kaunter sahaja. – SM

 

(Visited 265 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button