Ekonomi

Kerjasama institusi kewangan, agensi, organisasi awam pacu ekonomi hijau

INSTITUSI kewangan digesa bekerjasama dengan agensi kerajaan dan organisasi awam untuk mewujudkan perkongsian bagi memacu pembangunan mampan dan menyokong peralihan Malaysia ke arah ekonomi hijau.

Dalam membuat seruan itu, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kerjasama industri merupakan instrumen paling berkuasa untuk menyokong matlamat Malaysia itu, justeru, sektor perbankan perlu menyedari akan peranannya sebagai pemangkin bagi perubahan tersebut.

Menurutnya, sektor perbankan memiliki kuasa kewangan yang amat besar, berupaya memacu keputusan pelaburan ke arah alternatif lebih hijau.

“Dengan memasukkan projek tenaga mampan ke dalam portfolio pinjaman mereka, institusi kewangan boleh memberi insentif dan menggalakkan pembangunan infrastruktur tenaga bersih.

“Ini akan memainkan peranan penting dalam mempercepat peralihan tersebut dengan menyediakan kepada perniagaan dan individu modal yang diperlukan untuk meneruskan inisiatif tenaga boleh baharu (TBB).

“Sememangnya, dengan menyokong projek sedemikian, bank sebenarnya ‘mengundi’ bagi kemampanan dan kelaknya akan membawa masa depan yang lebih baik kepada Malaysia,” katanya pada Persidangan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) Antarabangsa bertajuk “Shaping Today For Tomorrow’.

Nik Nazmi berkata, bank-bank boleh memupuk budaya bertanggungjawab terhadap alam sekitar, menggalakkan perniagaan dan individu untuk beralih kepada sumber TBB yang boleh termasuk menawarkan insentif kewangan untuk pemasangan TBB dan projek cekap tenaga.

Beliau juga berkata, kerjasama antara sektor perbankan dan kerajaan adalah penting dalam memastikan peralihan tenaga yang berjaya kerana negara menyasar memiliki kapasiti TBB sehingga 70 peratus menjelang 2050. – SINAR HARIAN – SM

BACA SME Bank buka jalan PKS ke arah ekonomi kitaran hijau

BACA Ekonomi digital, hijau prospek kerjasama baharu Malaysia-Singapura

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button