Hiburan

Kerana serangan Blink, Dolla tiba-tiba jadi popular

Ketika mula-mula menginjak ke dunia hiburan sejak tahun lalu, tiada siapa pun yang peduli dengan  kumpulan bergelar Dolla.

Malah, kumpulan yang dianggotai oleh empat gadis bernama Sabronzo, Tabby, Syasya dan Angel juga mendapat kritikan sinis daripada sesetengah peminat tempatan.

Lagu pertama mereka yang berjudul Make You Wanna yang dikeluarkan pada Mac lalu juga gagal mendapat sambutan yang baik daripada pengikut muzik tempatan.

Namun, selepas sebuah portal yang menumpukan berita-berita hiburan dari Korea Selatan memetik nama Dolla, terus kumpulan ini menjadi tumpuan.

Dolla menjadi isu portal tersebut kerana ada dakwaan yang mengatakan bahawa kumpulan ini meniru gaya kumpulan K-Pop yang cukup terkenal sekarang iaitu Blackpink.

Dek kerana itu juga, Dolla tiba-tiba menjadi tumpuan seluruh dunia. Malah, peminat Blackpink yang digelar Blink juga telah berpusu-pusu menonton video klip Make You Wanna.

Sehingga kini, video klip Make You Wanna telah mendapat jumlah tontonan setinggi 2.3 juta dengan majoriti komen ditinggalkan oleh Blink yang memuji konsep dan lagu Dolla.

Mengambil kesempatan yang ada, Dolla tampil dengan lagu terbaharu mereka berjudul Impikan yang turut disertakan dengan versi bahasa Inggeris berjudul Watch Me Glow.

Menariknya, lagu kedua mereka ini juga dicipta oleh komposer dan penerbit terkenal dari Sweeden iaitu Ludwig Lindell, Daniel Caesar dan Karl Oscar Gummesson.

Pencipta lagu antarabangsa ini juga pernah menghasilkan beberapa lagu hits untuk kumpulan K-Pop seperti LOONA, Red Velvet, Girls’ Generation, EXO-CBX, VIXX, Boys Republic dan Pentagon.

Sabronzo berkata, Dolla teruja dengan kerana diberikan peluang untuk bekerja dengan komposer dan penerbit antarabangsa.

“Dengan peluang ini ianya sedikit sebanyak memberikan kami kelebihan kepada kami untuk membawa konsep muzik yang lebih bercitarasa antarabangsa.” katanya.

Sementara itu, Angelina Chai atau lebih mesra disapa sebagai Angel berkata, lagu Impikan itu cuba membangkitkan semangat mereka yang belum mencapai apa yang mereka impikan dalam hidup mereka.

“Lagu ini kami dedikasi khas buat peminat kami yang percaya dengan bakat dan kemampuan kami untuk terbang lebih jauh dalam persada seni,” katanya.

Lagu terbitan Universal Music Malaysia ini boleh didapati di platform digital seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music, JOOX, iTunes, KKBox dan juga Deezer bermula semalam. -SM

(Visited 804 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button