Nasional

Kerajaan Selangor bantu petugas kesihatan, barisan hadapan

KERAJAAN Selangor yang prihatin dengan beban yang ditanggung oleh petugas kesihatan dan pasukan barisan hadapan yang bertungkus lumus melawan Covid-19 akan meneruskan bantuan makanan kepada mereka.

Menteri Besar, Datuk Amirudin Shari berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) akan mengambil tindakan susulan kiriman surat seorang doktor yang membangkitkan isu beban ditanggung barisan hadapan.

“Mengambil maklum cadangan oleh JKNS dan surat yang dikirim oleh seorang petugas perubatan, Kerajaan Negeri akan meneruskan usaha menyediakan makanan buat para petugas perubatan dan ‘frontliners’ yang terlibat dengan usaha melawan Covid-19 bagi mengurangkan beban mereka,” katanya.

Baru-baru ini sebuah portal berita menyiarkan surat seorang doktor Hospital Sungai Buloh yang membangkitkan isu berkaitan beban ditanggung petugas kesihatan hospital itu serta mendakwa mengalami kekurangan kemudahan asas seperti tiada bilik rehat dan makanan bagi petugas syif atas panggilan.

Pada April tahun lalu, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan Selangor memperuntukkan RM1.344 juta bantuan makanan percuma kepada petugas perubatan di hospital seluruh negeri.

Susulan penularan pandemik Covid-19, Selangor menjadi negeri paling awal mengumumkan bantuan kepada golongan sasar berjumlah RM127.8 juta pada 20 Mac lalu, iaitu hari ketiga pelaksanaan PKP.

Pada 1 April, Kerajaan Negeri mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin fasa kedua berjumlah RM272.5 juta diikuti pelan pemulihan ekonomi negeri jangka sederhana pada 13 Julai dengan keseluruhan nilai ekonomi bernilai RM55.85 bilion.

Antara bantuan diberikan adalah peruntukan berjumlah RM100.7 juta untuk industri digitalisasi, bantuan khusus Agroprenuer berjumlah RM500,000 untuk 5,000 nelayan dan petani, pemberian RM1,000 untuk pesakit Covid-19 serta penangguhan bayaran balik pinjaman pengajian mahasiswa.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button