Nasional
Lawatan PM: Kerajaan tanggung kos, tidak guna kewangan syarikat swasta
Para pengkritik yang mempersoalkan kos lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke beberapa negara baru baru ini diminta memahami dengan tepat kenyataan yang dikeluarkan kerajaan berhubung pembiayaan lawatan berkenaan.
Awnar dalam jawapan kepada pengkritiknya, C4 Centre hari ini, menegaskan pihak swasta tidak pernah membayar kos lawatannya manakala tokoh tokoh perniagaan yang turut serta dalam lawatan itu ditanggung kosnya oleh syarikat atau sumber mereka sendiri.
“Saya tidak guna dana syarikat swasta. Kerajaan guna penerbangan MAS untuk lawatan empat negara dengan kos RM1.6 juta. Ini guna wang Kerajaan sepenuhnya.
“Baki tempat duduk ditawarkan kepada syarikat swasta yang sememangnya akan pergi ke negara-negara tersebut untuk tujuan pelaburan atau usaha sama. Syarikat ini bayar kos masing-masing berjumlah RM4.5 juta,” katanya dalam kenyataan.
Tegas Anwar, perkongsian bijak itu juga telah berjaya menjimatkan kos lawatan berkenaan dengan menyewa jet Sistem Penerbangan Malaysia (MAS).
Beliau dengan itu menafikan dakwaan C4 bahawa terdapat kemungkinan akan menerima tekanan daripada syarikat swasta sebagai balasan kepada pembiayaan yang mereka berikan.
“Jika guna jet Eksekutif Kerajaan, kos perlu ditanggung Kerajaan adalah RM2.5 juta untuk empat negara. Namun dengan perkongsian ini, kos untuk Kerajaan hanya RM1.6 juta.
“Saya ulang, Kerajaan tidak guna dana syarikat swasta. Tiada perselisihan kepentingan. Usah terperangkap dalam fitnah zaman edan,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif C4 Center, Pushpan Murugiah hari ini mendakwa walaupun kebijaksanaan kewangan mungkin menjadi faktor utama kerajaan ‘berkongsi’ kos lawatan namun kerajaan seharusnya mengambil kira kemungkinan terjadinya perselisihan antara kepentingan kerajaan dan swasta pada masa hadapan.
Minggu lalu Perdana Menteri mengadakan lawatan ke China, Mesir, Arab Saudi, Peru dan Brazil untuk menghadiri tiga persidangan antarabangsa.
Sekembalinya dari lawatan itu media melaporkan secara kurang tepat kononnya kira-kira 70 hingga 80 peratus kos melibatkan perjalanan dan lawatan rasmi beliau ke lima negara ditanggung oleh syarikat swasta yang mana wakil mereka mengikuti kunjungan tersebut.