Politik

Kerajaan PN tidak ada hala tuju kerana tiada manifesto

PRESIDEN UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mendakwa Kerajaan Perikatan Nasional yang ada sekarang tidak mempunyai hala tuju disebabkan tidak mempunyai manifesto yang jelas.

Menurutnya, Kerajaan Perikatan Nasional tidak mempunyai manifesto kerana dibentuk selepas Kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Tun Dr. Mahathir tumbang.

“Kerajaan Perikatan Nasional (PN) terbentuk selepas Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan. Kita jelas bahawa tiada manifesto dalam kerajaan ini.

“Maka, tiada hala tuju dan garis panduan yang boleh dilaksanakan. Berbanding Barisan Nasional, gabungan parti terlebih dahulu merangka manifesto. Apa yang penting aku janji itu adalah logik dan berkeupayaan untuk ditunaikan kerana BN amat mementingkan kebajikan rakyat, membangunkan negara dan ekonomi,” katanya.

Sementara itu Ahmad Zahid berkata, UMNO sedang merangka manifesto bagi mendepani Pilihan Raya Umum ke-15.


Ahmad Zahid berkata, beliau telah mengarahkan pasukan yang dipimpin oleh Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bagi merangka manifesto tersebut.

Manifesto tersebut akan menampilkan aku janji yang boleh dilaksanakan kepada rakyat.

“Mungkin kita semua ingin tahu. Ketika Perhimpunan Agung UMNO di PWTC pada Sabtu dan Ahad lalu, selaku Presiden saya menerima saranan daripada sayap Pemuda dan Puteri supaya diadakan ‘new deal’.

“Ini bermakna parti merangka manifesto dan aku janji terbaharu bagi mendepani PRU-15. Atas sebab itu saya meminta pasukan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin merangka manifesto,” katanya.

Manifesto yang akan dikemukan oleh UMNO itu juga katanya, akan memberi fokus terhadap pemulihan semula ekonomi negara.

“Dan saya juga difahamkan bahawa manifesto itu padat, jelas dan mampu ditunaikan. Fokus kami memperbaiki negara dan ekonomi selain mahu memulihkan kadar pengangguran pada tahap yang rendah.

“Apa yang pasti, lagu tema untuk manifesto parti bukanlah Janji Manismu. Barisan Nasional tidak menjanjikan bulan dan bintang,” kata Ahmad Zahid.

Dalam hantaran di Facebooknya, Ahmad Zahid turut menegaskan manifesto yang akan dikemukan oleh UMNO tidak seperti manifesto Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang penuh janji manis.

Selepas menjadi kerajaan, Pakatan Harapan tidak berupaya melaksanakan manifesto yang dijanjikan.

“Bukan setakat 100 hari pemerintahan tetapi tempoh 22 bulan pun mereka tidak mampu menunaikan janji. Sehinggakan ada yang berkata manifesto bukan kitab suci.

“Kita boleh menilai sendiri apa yang dilakukan PH ketika itu. Berbagai alasan diberikan kerana tidak mampu menunaikan janji.

“Padahal sebelum PRU-14 pasukan mereka jugalah yang memasang khemah pengakap di Dataran Merdeka bagi menuntut PTPTN dihapuskan,” katanya.-SM

 

(Visited 234 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button