Nasional

Kerajaan Perpaduan salur bantuan Wang Ihsan untuk mangsa banjir

Kerajaan Persekutuan mengagihkan Bantuan Wang Ihsan RM1,000 untuk ketua isi rumah (KIR) yang terjejas akibat banjir di seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, bantuan itu mula diagihkan pada Jumaat dan seterusnya secara berfasa kepada semua KIR yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

“Saya harap pengagihan bantuan terutama bantuan tunai ini akan dapat diatur gerak dengan sepenuhnya dan kita tidak mahu ada dalam kalangan KIR yang berpindah ke PPS dan mengikut syarat ditentukan NADMA yang tidak mendapat bantuan,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat sebelumnya hadir bagi memantau situasi banjir dan melawat PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Matang dan Sekolah Kebangsaan Nibong di Kuala Berang, Terengganu pada Sabtu.

Ahmad Zahid sementara itu memberi jaminan bahawa Kerajaan Persekutuan mempunyai peruntukan secukupnya untuk mengagihkan bantuan Wang Ihsan tersebut kepada lebih 30,000 KIR terkesan di seluruh negara.

Malah jelasnya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan telah memberi komitmen menambah peruntukan untuk bantuan tunai itu, sekiranya jumlah KIR melebih peruntukan yang disediakan.

Sementara itu beliau memaklumkan kerajaan telah mengarahkan seluruh agensi penguatkuasaan dan keselamatan bersiap siaga dan mengatur gerak pasukan dengan sebaiknya susulan bencana di negeri Pantai Timur yang semakin memburuk.

Justeru, kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri tegasnya perlu diperkukuh tanpa mengira perbezaan fahaman politik demi menjaga kebajikan rakyat yang ditimpa musibah banjir.

“Tentunya kerjasama antara Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri harus dipertingkatkan dan kita mesti mencari jalan meringankan beban mangsa yang dipindahkan (ke PPS) dan rumah-rumah yang mengalami kerosakan dan peralatan rumah yang rosak,” tambahnya. 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button