Nasional

Kerajaan Perpaduan beri Terengganu lebih banyak dana pembangunan berbanding PN

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pentadbirannya memperuntukkan sejumlah RM1.55 bilion untuk pembangunan Terengganu tahun lepas, walaupun royalti petroleum hanya berjumlah RM786 juta.

Anwar, yang juga menteri kewangan, berkata perbelanjaan pembangunan negeri pimpinan Pas itu meningkat kepada RM1.59 bilion tahun ini.

Beliau berkata jumlah royalti petroleum untuk Terengganu juga meningkat semasa pentadbirannya berbanding ketika Pas dan Bersatu berada dalam kerajaan pusat dengan hanya RM399 juta yang direkodkan pada 2022.

“Saya sudah sebut perkara ini di Parlimen, dan Menteri Kewangan kedua (Datuk seri Amir Hamzah Azizan) mengulanginya, tetapi mereka (pembangkang) mendakwa kami kejam… Mereka kata ini kekejaman ala Madani.

“Malah, peruntukan persekutuan kepada Terengganu di bawah Kerajaan Perpaduan melebihi peruntukan kerajaan Perikatan Nasional,” katanya pada perhimpunan kakitangan kementerian itu pagi ini.

Menteri besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar, yang juga Ahli Parlimen Kemaman, pada 5 Mac lalu menggesa Anwar menjelaskan tunggakan bayaran royalti minyak kepada negeri itu untuk 2023.

Samsuri berkata, kerajaan Madani tidak mahu dikenang dalam buku sejarah atau oleh generasi akan datang sebagai gagal menyelesaikan royalti minyak tertunggak untuk 2023.

Pada November tahun lalu, Samsuri dilaporkan berkata kerajaan Terengganu hanya menerima RM510 juta royalti petroleum.

Beliau berkata, jumlah itu berbeza dengan anggaran royalti petroleum atau wang ehsan yang diperuntukkan dalam bajet 2023, yang berjumlah RM1.524 bilion.

Anwar hari ini berkata, wang ehsan disalurkan bukan melalui kerajaan Terengganu tetapi melalui projek awam di negeri itu.

“Ada program atau keperluan yang mendesak, contohnya hakisan di Tasik Kenyir, yang mana kita memperuntukkan dana untuk menyegerakan projek, dan sebahagian daripadanya sudah tentu datang daripada wang ehsan.

“Untuk projek kecil, projek untuk rakyat, kita gunakan royalti minyak… kita tidak alihkan wang itu kepada kementerian, jabatan atau negeri lain. Dana itu untuk Terengganu semata-mata,” katanya.

Tambahnya, pendekatan yang sama digunakan untuk negeri yang menerima royalti petroleum termasuk Sabah, Sarawak dan Kelantan. – SM

(Visited 19 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button