Nasional

Kerajaan Pahang ambil langkah jaga status Unesco Chini

KERAJAAN Pahang telah melaksanakan inisiatif untuk mengukuhkan tapak rizab biosfera Tasik Chini selaras dengan saranan oleh Jawatankuasa Penasihat Antarabangsa mengenai Rizab Biosfera.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan berkata langkah itu termasuk mengemas kini zon bagi mengekalkan tiga fungsi tapak rizab biosfera dan mewartakan hutan simpan kekal Chini.

“Inisiatif lain ialah melaksanakan penguatkuasaan bersepadu, menghentikan semua perlombongan dan menubuhkan Perbadanan Taman Negeri Pahang dan Majlis Biodiversiti Pahang untuk memperkasakan tadbir urus tapak rizab biosfera Tasik Chini.

“Sejak 2016, kementerian menyediakan peruntukan lebih RM1.5 juta untuk penyelidikan di Tasik Chini termasuk kajian kualiti air.

“Pada tahun ini, kementerian melalui Jabatan Perhutanan melaksanakan program pemulihan dan penghutanan semula di tapak berkenaan dengan peruntukan RM800,000.

Beliau berkata kementerian sentiasa menyokong komitmen dan usaha kerajaan Pahang untuk melindungi tasik itu.

Beliau berkata tahun lepas, kerajaan Pahang menyediakan laporan semakan berkala sebagai sebahagian daripada kewajipan ditetapkan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

“Kementerian, sebagai pusat hubungan nasional untuk program Manusia dan Biosfera (Unesco) (MAB), telah menyerahkan laporan mengenai tapak rizab biosfera Tasik Chini kepada Sekretariat MAB pada 2021.

“Jawatankuasa Penasihat Antarabangsa mengenai Rizab Biosfera menilai laporan itu dan memberi kami masa sehingga 30 Sept tahun ini untuk membuat penambahbaikan.

“Kementerian sentiasa menekankan kepentingan memastikan tapak itu menepati objektif program MAB.

“Kami komited untuk melindungi status Tasik Chini sebagai tapak rizab biosfera.”

Pada 26 Mei 2009, Tasik Chini menjadi tapak pertama di negara ini yang diberi pengiktirafan tapak rizab biosfera di bawah program MAB.

Minggu lalu, dilaporkan status rizab biosfera Tasik Chini terancam kerana tasik itu didakwa gagal memenuhi kriteria untuk menjadi sebahagian daripada Rangkaian Rizab Biosfera Dunia.

Tahun lepas, Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dilaporkan berkata RM20 juta diperlukan untuk memulihkan 600 hektar tanah di Tasik Chini yang terjejas akibat perlombongan.

Beliau berkata kerajaan negeri telah mengenakan moratorium ke atas lesen baharu perlombongan dan tiada lagi perlombongan berhampiran tasik itu.

(Visited 207 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button