NasionalPendidikanpilihan

MSU semarak kolaborasi kebudayaan Malaysia dan Uzbekistan

Dengan penganjuran “MSU International Cultural Festival” baru-baru ini

MENYEDARI potensi besar Republik Uzbekistan dari segi demografik, ekonomi, pelancongan serta pendidikan, Management and Science University (MSU) telah menganjurkan “MSU International Cultural Festival” dalam usaha mengenali secara lebih dekat kepelbagaian kebudayaan dan tradisi negara berkenaan

“MSU International Cultural Festival” merupakan inisiatif bagi memberikan pendedahan kepada para pelajarnya untuk menghargai seni dan persefahaman kebudayaan antara masyarakat berlainan bangsa dan agama khususnya Uzbekistan.

Ianya juga adalah platfom memperkasakan hubungan antara kedua buah negara yang berkongsi nilai, tradisi dengan pendidikan sebagai faktor perubahan yang utama.

Kunjungan delegasi kebudayaan Uzbekistan ke MSU ini juga adalah signifikan dalam meraikan 30 tahun hubungan diplomatik di antara Malaysia dan Uzbekistan yang bermula melalui pembukaan pejabat kedutaan Malaysia di Tashkent pada tahun 1992

Hadir pada majlis berkenaan adalah Presiden MSU, Profesor Tan Sri Datuk Wira Dr Mohd Shukri Ab Yajid dan Duta Bexar Uzbekistan ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Ravshan Usmanov.

Turut hadir ialah pengurusan kanan MSU, wakil kedutaan Uzbekistan di Malaysia, para pelajar serta kumpulan penari kebudayaan Uzbekistan yang didatangkan khusus ke Malaysia,

Kebudayaan Uzbekistan yang unik serta kaya dengan nilai sejarah telah menyaksikan tarian Lazgi tersenarai dalam senarai Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan (UNESCO) di bawah kategori warisan budaya tidak ketara dunia.

Selain itu, beberapa khazanah Uzbekistan lain yang turut tersenarai dalam UNESCO termasuk daerah tenggara Boysun, muzik Shahmaqom, hidangan tradisional Palov, Askiya (seni budaya) dan lagu tradisi Katta Ashula.

Selain itu pada majlis berkenaan turut menyaksikan persembahan tarian tradisional mengikut pelbagai etnik di Malaysia telah dipersembahkan oleh ahli MSU Performing Arts & Cultural Club (PACC).

Pelbagai aktiviti telah dijalankan sepanjang seminggu delegasi Uzbekistan berada di MSU dalam mempromosikan kepelbagaian kebudayaan termasuk persembahan tarian tradisional, bahasa Uzbek, serta pameran pakaian kebangsaan.

Kerjasama pintar MSU di Uzbekistan merentasi bidang Farmaseutikal dan Penjagaan Kesihatan, Pensijilan Halal, Latihan, Pertanian dan Penternakan.  Manakala dalam bidang pendidikan pula menyaksikan kolaborasi MSU dengan rakan universiti di Uzbekistan seperti Navoi State Pedagogical Institute, Bukhara State University, Bukhara State Medical Institute serta Samarkand State Institute of Foreign Languages. – SM

(Visited 504 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button