Negeri

Kerajaan negeri lipatganda usaha beri kesedaran ambil suntikan vaksin

MINGGU lalu, selepas dilaporkan hampir 10,000 individu yang berdaftar untuk suntikan vaksin tetapi gagal hadir untuk menerima suntikan, hari ini kerajaan negeri Kelantan sedang melipatgandakan usaha memberi kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya mengambil suntikan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Mumtaz Md Nawi berkata, tumpuan juga digerakkan di peringkat akar umbi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kita menyarankan kempen kesedaran dibuat di semua kawasan Parlimen dan DUN termasuk bahaya Covid-19 dan pentingnya mengambil vaksin dan memberi panduan bagaimana cara mendaftar pengambilan vaksin.

“Selain itu semua mukim akan di pasang banner di kawasan strategik sebagai alternatif tambahan bagi memberi kesedaran,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi memaklumkan langkah mengadakan kempen kesedaran itu juga bagi menepis persepsi negatif yang dicipta segelintir pihak sehingga menimbulkan keraguan dalam kalangan rakyat untuk mengambil suntikan vaksin.

Katanya, penghulu dan ketua kampung juga diarahkan supaya memastikan mereka yang telah mendapat tarikh suntikan vaksin, hadir mengikut waktu ditetapkan termasuk membantu menyediakan pengangkutan kepada mereka memerlukan.

“Kami juga membuat pelbagai strategi untuk meningkatkan kesedaran penting mengambil vaksin.

“Ada penghulu dan ketua kampung juga telah diberi vaksin, dan ia memudahkan mereka mengetuai kempen memberi kesedaran kepada rakyat,” ujar Mumtaz.

Beliau juga menasihatkan orang ramai agar tidak mencari salah sesiapa sebaliknya sama-sama membantu kerajaan memberi nasihat kepada masyarakat supaya mengambil vaksin, mematuhi SOP serta menjaga penjarakan fizikal.

Isu individu gagal hadir menerima suntikan vaksin bukan hanya berlaku di Kelantan, sebaliknya negeri lain turut berdepan masalah sama, tegas beliau.

Sebelum ini media melaporkan hampir 10,000 penduduk di Kelantan, sebahagian besar berusia 60 tahun ke atas dikesan gagal hadir menerima suntikan vaksin.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Dr. Zaini Hussin berkata, antara puncanya ialah masalah kesihatan selain menunda tarikh suntikan.

Katanya, ada yang gagal hadir kerana mempunyai masalah peribadi dan ramai juga tidak memberi alasan kepada Pusat Pemberian Vaksin (PPV). – FMT-SM

 

(Visited 193 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button