BanjirBencana alamNasionalNegeri

Kerajaan Negeri sambung bayar sewa rumah mangsa banjir, kepala air di Baling

MANGSA banjir di Kedah pasti menghela nafas lega apabila Kerajaan Negeri Kedah akan menyambung pembayaran sewa penempatan sementara bagi mangsa banjir dan kepala air di Baling pada Julai tahun lepas sehingga rumah baharu mereka siap sepenuhnya.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pembinaan 17 rumah baharu itu sepatutnya siap pada Disember lepas tetapi sehingga kini masih belum siap dibina sepenuhnya.

Sehubungan itu, Sanusi berkata, beliau akan berbincang dengan pegawai daerah Baling.

BEGINILAH keadaan banjir di Baling, Kedah pada Julai tahun lepas menjejaskan 41 kawasan, dengan kerugian dianggarkan RM28 juta. – GAMBAR BERNAMA

“Ini kerana kita sasarkan rumah-rumah itu siap sepenuhnya pada bulan Disember tahun lepas dan kerajaan negeri juga menanggung bayaran sewa rumah mangsa-mangsa banjir selama enam bulan.

“Tetapi sekarang sudah masuk Januari dan rumah masih belum siap. Jadi kita akan bantu untuk sambung bayaran sewa itu sehingga kesemua rumah berkenaan siap dibina sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kebimbangan mangsa-mangsa banjir mengenai pembayaran sewa rumah yang mereka duduki sekarang.

Pada 6 Julai tahun lepas, Sanusi memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Kedah akan menanggung sepenuhnya bayaran sewa untuk penempatan sementara selama enam bulan mangsa yang kehilangan rumah akibat banjir dan kepala air yang berlaku di Baling pada 4 Julai lalu.

Bencana alam itu mengakibatkan 41 kawasan di daerah Baling terjejas dengan kerugian dianggarkan RM28 juta. Tiga nyawa turut terkorban dalam kejadian tersebut termasuk seorang ibu hamil berusia 23 tahun.

Sementara itu, ditanya mengenai jangkaan tarikh rumah baharu itu siap dibina, Sanusi berkata, beliau akan meminta pihak pemaju untuk memberikan laporan perkembangan proses pembinaan rumah berkenaan.

“Apa pun, tidak boleh lajak sehingga Februari sebab sasaran kita ialah pada Disember tahun lepas,” jelasnya.

Dilaporkan pada Julai tahun lepas Kementerian Pembangunan Luar Bandar di bawah pentadiran bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan membina rumah baharu bagi 17 keluarga yang kehilangan rumah akibat banjir di tanah berkeluasan lebih satu hektar milik Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) di Kupang dengan anggaran kos RM1.5 juta. – SM

(Visited 164 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button