Ekonomi

Kerajaan jangka defisit fikizal bertambah antara 6.5 ke 7.0 peratus

KERAJAAN menjangkakan defisit fiskal akan meningkat antara 6.5 peratus hingga 7.0 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini berbanding unjuran 5.4 peratus ketika pembentangan Bajet 2021.

Ini berikutan pelaksanaan pakej bantuan ekonomi tambahan PERMAI, PEMERKASA, PEMERKASA Tambahan dan PEMULIH dalam mengatasi kesan akibat Covid-19.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, peningkatan tersebut bukan asing kerana ia turut dialami oleh negara lain.

“Berdasarkan data dari Tabung Kewangan Antarabangsa, atau IMF, dalam memerangi wabak COVID-19, kebanyakan Kerajaan di seluruh dunia telah memperuntukkan lebih dari AS$16.5 trilion dolar dalam bentuk perbelanjaan fiskal.

“Ini telah menyebabkan purata defisit keseluruhan kepada KDNK untuk tahun ini akan mencecah 9.9 peratus bagi negara maju, 7.1 peratus bagi negara membangun dan 5.2 peratus bagi negara berpendapatan rendah.

“Oleh itu, purata nisbah hutang kepada KDNK dunia juga dijangka meningkat sehingga 98.8 peratus tahun ini,” kata Tengku Zafrul dalam Penerangan Menteri Kewangan berkenaan Pakej-Pakej Bantuan Ekonomi pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, sebelum pandemik COVID-19 melanda negara Malaysia berada di atas landasan pengukuhan fiskal yang konsisten sejak negara beralih keluar dari krisis kewangan global pada tahun 2009.

Defisit dikurangkan dari 6.7 peratus kepada 3.4 peratus pada 2019 sebelum meningkat semula kepada 6.2 peratus pada tahun 2020.

Oleh itu, setelah ekonomi kembali pulih, Kerajaan akan melaksanakan langkah konsolidasi dan pengukuhan kedudukan fiskal kerajaan termasuk meluaskan asas hasil, mengukuhkan pentadbiran dan pematuhan cukai serta meningkatkan kecekapan perbelanjaan bagi mengawal paras defisit fiskal Kerajaan.

Katanya, pengenalan Strategi Hasil Jangka Sederhana merupakan salah satu langkah bagi memastikan kutipan hasil mampu membiayai perbelanjaan Kerajaan.

Selain itu, Akta Tanggungjawab Fiskal juga sedang digubal bagi menambah baik tadbir urus dan ketelusan dalam pengurusan fiskal negara.

Namun, Kerajaan memberi komitmen tidak akan memperkenalkan sebarang pembaharuan fiskal selagi ekonomi belum stabil.-SM

 

(Visited 87 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button