Nasional

Kerajaan digesa ambil perhatian isu MPN termasuk kemasukan pekerja asing

KERAJAAN diminta memberi perhatian terhadap isu berkaitan dengan sektor industri termasuk proses mempercepatkan kemasukan pekerja asing bagi menyokong proses pemulihan negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga perlu memastikan permasalahan yang dihadapi oleh industri dapat diselesaikan dengan seberapa segera.

Ini adalah peringatan untuk jangka masa panjang di mana penekanan juga mesti terus diberikan kepada penggunaan teknologi dan automasi untuk mengurangkan penggantungan kepada pekerja asing.

Demikian saranan yang dinyatakan oleh Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi satu kenyataannya.

Segala usul yang dibincangan dalam mesyuarat MPN terdahulu bukanlah saranan peribadi Muhyiddin tetapi yang dibincangkan dalam mesyuarat membabitkan agensi dan kementerian-kementerian lain demi rakyat dan ekonomi negara.

Muhyiddin berkata, MPN dimaklumkan sebanyak 1,152,276 permohonan kuota pekerja asing telah diterima daripada semua sektor industri daripada Januari hingga September 2022.

“Daripada jumlah ini, sebanyak 467,223 (40.5%) kuota telah diluluskan tetapi hanya 76,000 (6.5%) pekerja asing telah dibawa masuk ke negara ini setakat 12 September 2022.

“Data ini menunjukkan jumlah kemasukan pekerja asing adalah jauh lebih rendah daripada keperluan sebenar industri.

“Oleh itu, bagi MPN, isu kekurangan tenaga kerja asing di negara ini masih meruncing dan tidak dapat diselesaikan oleh kerajaan walaupun MPN telah membangkitkan isu ini sejak bulan Disember tahun lalu,” ujar Muhyiddin.

MPN kata Muhyiddin berpandangan, langkah-langkah segera mestilah diambil oleh Kementerian Sumber Manusia untuk mempercepatkan proses kemasukan pekerja asing yang diperlukan oleh semua sektor industri bagi menyokong proses pemulihan negara.

Dalam kenyataan yang sama, isu aliran tunai dan pembiayaan PMKS juga menjadi perhatian utama MPN, kata Muhyiddin.

“Menurut Firm’s Recovery From Covid-19 in Malaysia, Business Pulse Survey, February-March 2022 yang dirujuk dalam kertas pembentangan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dalam Mesyuarat MPN pada 29 Ogos 2022, 39% firma di negara ini mempunyai tunai tersedia kurang daripada 1 bulan.

“23% mengalami masalah pembayaran tertunggak, 75% mengalami kelewatan pembayaran oleh pelanggan sekurang-kurangnya tiga bulan dan 11% telah difailkan untuk ketakmampuan bayar (insolvency).

“MPN telah mengemukakan dua perakuan utama kepada kerajaan untuk membantu menangani masalah aliran tunai dan pembiayaan PMKS,” jelas beliau.

Dua perakuan utama yang dimaksudkan oleh Muhyiddin adalah seperti berikut:

Pertamanya, penubuhan Jawatankuasa Tindakan Khas Berkenaan Isu Kekangan Aliran Tunai dan Pembiayaan Dalam PMKS yang diterajui oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang diputuskan dalam mesyuarat MPN pada 2 Disember 2021.

Keduanya, beberapa cadangan yang lebih spesifik untuk membantu industri PMKS iaitu supaya Bank Negara Malaysia (BNM) memberi kebenaran kepada pihak bank meneruskan program penjadualan atau penstrukturan semula pembiayaan (moratorium) dan tidak mengklasifikasikan pembiayaan yang diberikan penjadualan atau penstrukturan semula sebagai “Tahap 3” bagi pelanggan yang memilih opsyen ini.

“Perakuan ini telah diputuskan dalam mesyuarat MPN pada 14 April 2022 lalu dan dikemukakan untuk kelulusan kabinet menerusi Memorandum Jemaah Menteri pada 18 Mei 2022,” jelas Muhyiddin.

Tambah beliau, “Saya telah membangkitkan perkara ini dalam kenyataan saya kepada wartawan pada 12 September 2022 dan YAB Perdana Menteri memberi maklum balas bahawa beliau akan berbincang terlebih dahulu dengan kementerian-kementerian yang berkaitan sebelum membuat keputusan.

“Minggu lepas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dalam kenyataan kepada media memberitahu bahawa kementeriannya akan menimbangkan cadangan ini.”

Dalam kenyataan yang sama, Muhyiddin turut menzahirkan rasa hairan kerana Memorandum Jemaah Menteri mengenai perakuan tersebut telah pun diangkat kepada kabinet pada 18 Mei 2022.

Semestinya diharapkan kabinet membincangkan perakuan penting MPN ini dalam mesyuaratnya yang lebih 4 bulan yang lalu dan Majlis Jemaah Menteri (MJM) membentangkan kepada kabinet supaya dibincang secara terperinci. – SM

(Visited 220 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button