Nasional

Kerajaan benarkan hampir semua sektor ekonomi, sosial beroperasi 4 Mei

KERAJAAN akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat atau PKPB bermula pada 4 Mei depan dengan membenarkan hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan kembali beroperasi.

Namun ia tertakluk kepada syarat-syarat dan prosedur operasi (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin berkata, perkara tersebut telah dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi, sidang Majlis Keselamatan Negara dan Mesyuarat Jemaah Menteri.

Menurutnya, perkara itu juga diputuskan nasihat Kementerian Kesihatan berdasarkan data-data yang dikumpul dan amalan terbaik yang ditentukan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

“Saya katakan hampir semua kerana masih ada beberapa kategori industri dan perniagaan yang tidak diizinkan untuk beroperasi.

Ini adalah perniagaan atau aktiviti yang melibatkan perhimpunan ramai dan sentuhan badan di mana penjarakan sosial sukar dikawal.

“Antaranya panggung wayang, pusat karaoke, pusat refleksologi, pusat hiburan, kelab malam, taman tema, bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, karnival jualan dan semua bentuk persidangan dan pameran.

“Senarai lengkap perniagaan atau aktiviti yang tidak dibenarkan boleh dirujuk di laman web Majlis Keselamatan Negara.

“Senarai ini akan disemak dari masa ke semasa bergantung kepada perkembangan keskes jangkitan COVID-19,” kata Muhyiddin.

Antara yang dibayangkan akan dibenarkan beroperasi termasuk restoran, food truck, gerai makan, pengangkutan awam, sektor kerajaan dan sektor swasta.

Aktiviti sukan luar yang tidak melibatkan sentuhan badan dan perhimpunan ramai juga akan dibenarkan.
Ini termasuk bermain badminton atau tenis di luar tanpa penonton, jogging, kayuhan basikal, golf dan larian dalam kumpulan kecil tidak melebihi 10 orang.

Bagaimanapun majlis sosial, kemasyarakatan dan kebudayaan yang melibatkan perhimpunan ramai seperti kenduri, rumah terbuka, majlis berbuka puasa beramai-ramai, konsert, persembahan kebudayaan, perhimpunan bulanan dan majlis perasmian adalah tidak dibenarkan.

Aktiviti kegamaan seperti perarakan keagamaan, solat Jumaat dan semua aktiviti berjemaah atau berhimpun di masjid, surau dan rumahrumah ibadat juga tidak dibenarkan.

Turut tidak dibenarkan adalah perjalanan rentas sempadan negeri juga tidak dibenarkan kecuali untuk tujuan hadir bekerja dan pulang semula ke rumah sendiri setelah terkandas di kampung atau di tempat-tempat lain.

Perjalanan rentas negeri untuk balik ke kampung semasa cuti perayaan Aidilfitri juga tidak dibenarkan.

-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button