Politik

Keputusan usul tambahan jawatan Presiden dan Timbalan diputuskan esok

SIDANG perbahasan perwakilan hari ini yang diadakan secara tertutup membawa kepada usul jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti akan datang.

Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil berkata, usul jawatan tidak dipertandingkan dibawa oleh perwakilan Negeri Sembilan.

“Usul tambahan ini, jawatan tidak dipertandingkan disokong oleh perwakilan dari Terengganu, Selangor, perwakilan Wanita dan Pulau Pinang.

“Walau bagaimanapun, usul ini masih belum habis lagi dan akan bersambung esok,” katanya.

Isham berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar usai persidangan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022, hari ini.

Persidangan hari ini yang sepatutnya membahaskan ucapan dasar Presiden, turut membahaskan tujuh usul yang pelbagai.

Apabila ada kedengaran dua jawatan tertinggi dalam parti akan ditentang maka usul jawatan tidak dipertandingkan menjadi usul kelapan (usul tambahan) perwakilan-perwakilan.

Isham berkata, majlis kerja tertinggi tidak pernah memutuskan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti pada 19 Mei ini iaitu enam bulan selepas diadakan Pilihan Raya Umum, 19 November tahun lepas.

“Seperti mana yang telah saya katakan semalam, kita tidak tahan sesiapa yang mahu bertanding jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.

“Kita juga tidak pinda perlembagaan dan tidak halang sesiapa perwakilan yang bawa usul ini.

“Keputusan sama ada dipertandingkan atau tidak, bergantung kepada para perwakilan. Terserah,” ujar beliau.

Isham juga berkata, yang ingin bertanding jawatan tertinggi parti agar tampil ke hadapan dan tidak perlu sorok-sorok atau tunggu di saat akhir, baru nak umum bertanding.

Menyifatkan perbuatan seperti itu tidak adil dan tidak memberi kelebihan atau disadvantage kepada Datuk Seri Presiden dan Timbalan Presiden, jangan dibuat gerakan yang halus atau ada gerakan dalam gelap.

“Kita tidak mahu ada kritikan belakang-belakang terhadap Presiden dan Timbalan Presiden.

“Itu tidak elok untuk demokrasi parti. Nak bertanding, biar telus. Jangan sorok-sorok,” ujarnya.

Tidak seperti PAU tahun-tahun lepas, perbahasan perwakilan yang diadakan didalam dewan, dibuat secara tertutup di mana pengamal media tidak dibenarkan masuk ke dalam dewan untuk mengikuti sidang perbahasan secara langsung.

Sebaliknya pengamal media, para wartawan, di tempatkan di dalam Laman Media dan rakaman selepas suntingan itulah yang ditayangkan kepada pengamal media.

Ditanya senario tersebut, begini jawapan Isham: “kita tidak boleh open sangat dan perwakilan yang berbahas, tidak mahu tersekat-sekat.

“Apa yang dibincangkan, kita tidak mahu parti-parti politik lain tahu dan kita nak bincang terus terang dalam dewan dahulu.

“Ini masa kritikal dan different circumstances. Buat secara tertutup, hala tuju dan strategi yang dibincang, hanya dalam dewan dan umum juga tidak tahu.” – SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button