Politik

Kenyataan Guan Eng bukti DAP, dirinya pejuang masyarakat Cina

KENYATAAN Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng bahawa kalau bukan kerana DAP mana mungkin tulisan Jawi yang sepatutnya wajib, kini hanyalah pilihan, menguatkan persepsi bahawa beliau mendominasi kerajaan dan pakatan yang dianggotainya.

Pemerhati politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff mendakwa, kenyataan Guan Eng yang dilaporkan oleh portal Oriental Daily dan kemudian dipetik oleh Malaysiakini itu, turut menunjukkan Menteri Kewangan tersebut  menobatkan diri dan partinya sebagai pejuang masyarakat Cina.

“Padahal yang dia lawan dan dia menang itu adalah rakan-rakan dalam kerajaan dan pakatan yang dianggotai olehnya sendiri.

“Padahal tindakannya ini akan menguatkan lagi persepsi bahawa dia dan partinya adalah cauvinis Cina.

“Padahal tindakannya ini akan menguatkan lagi persepsi bahawa kerajaan dan pakatan yang dianggotai olehnya didominasi olehnya,” kata Kamarul Zaman.

Semalam Guan Eng dilaporkan berkata, “Ambil tulisan Jawi sebagai contoh, kalau bukan kerana DAP, mana mungkin tulisan jawi yang wajib di sekolah-sekolah Cina boleh jadi pilihan, mana mungkin tulisan Jawi yang 6 muka surat di sekolah-sekolah Cina boleh jadi 3 muka surat, dan mana mungkin PIBG di sekolah-sekolah Cina boleh tentukan sama ada pelajar perlu belajar tulisan jawi atau tidak?”

Menteri Kewangan itu juga dilaporkan berkata, kalau bukan kerana DAP, mana mungkin dana kerajaan untuk sekolah-sekolah Cina ditambah, sekolah-sekolah persendirian Cina boleh dapat dana kerajaan, dan dana kerajaan boleh diagih sama tahun dengan tahun ia diluluskan.

“Adakah semua ini berhasil disebabkan DAP berdiam diri?” tanya Guan Eng yang menafikan tuduhan bahawa DAP tidak melakukan apa-apa dalam isu yang melibatkan kepentingan kaum Cina di Malaysia. -SM

 

(Visited 190 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button