Politik

Kenyataan Abdul Latiff boleh bantutkan usaha perkukuh PN, kata UMNO Sabah

PERGERAKAN Pemuda UMNO Sabah mengingatkan Menteri Pembangunan Luar Bandar Dr. Abdul Latiff Ahmad untuk sedar keperluan memperkukuhkan jalinan kerjasama antara parti dalam Perikatan Nasional.

Menurut Ketuanya, Ir. Abdul Aziz Julkarnain, tindakan Ahli Parlimen Bersatu itu menghina UMNO Sabah sebagai tidak laku akan menyinggung rakan-rakan dalam Perikatan Nasional.

Ir. Abdul Aziz Julkarnain

Abdul Aziz menegaskan, tindakan Ahli Parlimen Mersing itu boleh membantutkan usaha memperkukuhkan kerajaan Perikatan Nasional.

“Saya tidak dapat menggarap niat dan maksud sebenar disebalik kenyataannya untuk memburuk-burukkan UMNO terutamanya ketika kerajaan PN amat bergantung terhadap sokongan daripada semua parti termasuklah UMNO yang mempunyai ahli parlimen yang terbanyak dalam koalisi kerajaan yang baharu ini.

“Dengan majoriti nipis yang dinikmati kerajaan PN pada hari ini, beliau perlu sedar tentang keperluan untuk memperkukuhkan koalisi dalam PN adalah satu keutamaan yang paling utama,” kata Abdul Aziz.

Pemuda UMNO Sabah menuntut agar Abdul Latiff memohon maaf daripada semua ahli-ahli UMNO seluruh negara dan berjanji untuk tidak mengulanginya lagi.

Beliau turut didesak meletakkan jawatan sekiranya mempunyai masalah dengan UMNO yang mendokong Kerajaan PN.

“Sekiranya beliau degil untuk membuat permohonan maaf Pemuda UMNO Sabah tidak akan teragak-agak untuk mendesak YAB Perdana Menteri agar menukarkannya dengan menteri yang lebih peka dan bertanggungjawab.

“Pemuda UMNO Sabah berharap isu ini dapat diselesaikan secara damai dan segera agar semua pihak dapat fokus untuk memperkukuhkan kerajaan PN ini,” kata Abdul Aziz.

Dalam video yang viral di media sosial bekas Ketua Bahagian UMNO Mersing itu berkata, UMNO di Sabah tidak lagi laku dan ramai ahlinya yang telah menyertai Bersatu.

“Saya orang yang melompat, teruk juga saya kena kutuk. Biasa la tu. Kalau tak nak tak payah masuk politik. Saya tak ada Facebook, Instagram, Twitter jadi orang tak boleh hentam saya. Kalau dia hentam saya pun saya tak tahu, sebab saya tak ada.

“Orang Sabah dia tak panggil lompat. Dia kata hijrah. Biasa. Daripada Berjaya pergi ke USNO, Berjaya pergi PBS, PBS pergi UMNO, UMNO sekarang ini tak laku lagilah. UMNO di Sabahlah. Itu realitinya. Kerana orang sudah tidak yakin. Semua orang dia dah lompat, dia hijrah ke Bersatu,” kata Abdul Latif dalam video itu.

Abdul Latif antara enam ahli Parlimen UMNO yang keluar daripada parti itu dan menyertai Bersatu pada 12 Februari tahun lalu selepas Barisan Nasional kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button