Nasionalpilihan

Kenaikan harga lembu tidak halang umat Islam jalani ibadah korban

Kenaikan harga lembu sebanyak 20 peratus tidak menghalang umat Islam di negeri ini menunaikan ibadah korban sempena sambutan Aidiladha tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, ramai dalam kalangan mereka mendaftar nama di masjid dan surau seluruh negeri ini.

Menurutnya, setakat ini sebanyak 1,362 ekor lembu, empat kerbau dan 125 kambing telah didaftarkan akan disembelih pada tahun ini.

Beliau berkata, sebanyak 220 masjid dan 846 surau seluruh negeri ini telah mendaftar untuk menjalankan ibadah korban.

“Kita jangka jumlah lembu yang akan disembelih dijangka meningkat antara 1,500 hingga 1,600 ekor beberapa hari sebelum Aidiladha Khamis ini.

“Setakat ini kesemua jumlah haiwan akan disembelih berdasarkan pendaftaran yang diterima Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) baru-baru ini,” ujarnya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Minggu Dakwah (MINDA), bertemakan ‘Melestarikan Dakwah Insani, Membangun Ummah Madani di Auditorium Masjid Al Azim, Bukit Palah di sini, hari ini.

Rahmad berkata, kerajaan negeri pula menyumbangkan sebanyak 24 ekor lembu untuk diberikan kepada semua 24 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) melibatkan kos dianggarkan sebanyak RM144,000.

Dalam pada itu beliau turut mengingatkan orang ramai yang ingin menyembelih ternakan korban sempena Aidiladha nanti diminta mendapatkan permit daripada pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) berdekatan dengan tempat masing-masing.

Menurutnya, ada pihak yang tidak melapor kepada JAIM untuk mereka menjalani ibadah korban khususnya mereka yang tidak mendaftar secara berkelompok di surau atau masjid di negeri ini. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button