Berita

Kempen Hulurkan Salam Bank Rakyat teruskan tradisi hargai pelanggan sempena bulan Ramadan dan Syawal

KUALA LUMPUR, 18 FEBRUARI 2025 – Bank Rakyat meneruskan tradisi menghargai pelanggan melalui pelbagai kempen yang menawarkan peluang kepada pelanggan untuk memenangi pelbagai ganjaran menarik, di samping menyediakan platform kepada usahawan untuk turut serta mengembangkan perniagaan produk dan perkhidmatan serta inisiatif Jangkauan Komuniti kepada masyarakat sempena bulan Ramadan dan Syawal dengan peruntukan lebih RM900,000 melalui Kempen Hulurkan Salam.

Pada tahun lalu, hampir 500 orang pemenang menerima manfaat dan hadiah keseluruhan berjumlah lebih RM750,000 yang ditawarkan menerusi kempen Ramadan dan Syawal yang dianjurkannya, mencerminkan komitmen Bank Rakyat untuk memulangkan semula kepada masyarakat.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff dalam satu kenyataan berkata, ‘Hulurkan Salam’ diangkat sebagai tema bulan Ramadan dan Syawal pada tahun ini sebagai simbolik penghargaan Bank berkenaan kepada pelanggan yang setia bersamanya saban tahun.

“Tradisi menghulurkan salam adalah lebih daripada sekadar ucapan, ia adalah tanda kasih sayang, keikhlasan serta kemaafan yang mengeratkan hubungan antara setiap insan. Bank Rakyat bukan sahaja sebuah institusi kewangan, tetapi juga rakan perbankan yang dipercayai dalam perjalanan hidup pelanggan kami yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang sosial. Sepanjang 70 tahun penubuhan Bank Rakyat, hubungan erat yang kekal terjalin antara Bank dengan pelanggan dan komuniti adalah asas keutuhan kami.”

“Justeru, kami berharap menerusi pelbagai inisiatif yang telah direncanakan menerusi kempen ini dapat mengeratkan lagi hubungan kami dengan setiap pelanggan serta memberi mereka lebih banyak kegembiraan dan keceriaan sempena bulan yang penuh bermakna ini,” ujar Ahmad Shahril.

Kempen Utama di bawah Hulurkan Salam yang bakal berlangsung bermula 1 Mac sehingga 31 Mei 2025 menawarkan hadiah berjumlah RM370,000 dengan hadiah istimewa termasuk kereta mewah Jaecoo J7, Proton e.MAS dan motosikal elektrik BMW CE 04.

“Hadiah kenderaan elektrik ini seiring dengan komitmen Bank Rakyat dalam menyokong matlamat karbon sifar bersih dan penggunaan teknologi hijau serta mesra alam. Kempen ini diharap dapat menggalakkan orang ramai untuk memilih pilihan lebih lestari dalam kehidupan mereka,” tambah Ahmad Shahril.

Sempena bulan Syawal ini, Cabutan Khas Akaun Pelaburan-i Rizq Plus juga akan diadakan yang mana menawarkan hadiah utama sebanyak RM100,000 serta emas 20 gram yang berpeluang untuk dimenangi oleh lima pelanggan bertuah.

Menerusi Kempen Hulurkan Salam, Bank Rakyat turut menawarkan pelbagai rebat dan ganjaran istimewa seperti Kempen Rebat Petrol yang berlangsung dari 27 Mac sehingga 10 April 2025, yang mana pelanggan boleh menikmati diskaun 5% bagi pembelian petrol, diesel serta barangan runcit di stesen minyak seluruh negara.

Selain itu, Kempen Rebat Barangan Runcit menawarkan diskaun 3% bagi pembelian barangan keperluan harian dari 27 Mac sehingga 3 April 2025 dan Kempen Rebat Emas menawarkan diskaun 1% bagi pembelian emas menggunakan Kad Kredit-i Bank Rakyat bermula 1 Mac sehingga 30 April 2025.

Manakala melalui Kempen iRakyat Duit Raya, pelanggan yang melakukan jumlah transaksi duit raya tertinggi dari 17 Mac hingga 13 April 2025 berpeluang memenangi hadiah wang tunai sehingga RM2,000.

Bagi menyokong usahawan, Bank Rakyat bakal menghimpunkan sebanyak 100 gerai usahawan sempena bulan Ramadan ini menerusi Karnival Bazar Riang Raya bertempat di Menara Kembar Bank Rakyat pada 17, 19, 20 dan 21 Mac 2025.

Program Jajahan Rakyat Ramadan turut akan dianjurkan di tujuh lokasi baharu di seluruh negara, termasuk Masjid Umar Ibnu Al-Khattab, Bayan Baru, Pulau Pinang, Puncak Bougainvillea, Kuala Kangsar, Perak, Bazar Kampung Bahtera, Batu Caves, Selangor, Bazar Ramadan Jasin Bestari, Peringgit Melaka, Kuala Dungun, Terengganu dan Desa Ilmu Kota Samarahan, Sarawak.

Jajahan Rakyat Ramadan adalah kesinambungan daripada program Jajahan Rakyat yang diperkenalkan di Bazar Karat, Johor Bahru. Bakal disertai lebih daripada 700 usahawan, inisiatif ini bertujuan bagi memperkasa perusahaan mikro menerusi penyediaan kemudahan dan produk perbankan serta proses pendigitalan.

Sebagai sebahagian daripada komitmen tanggungjawab sosialnya, Bank Rakyat turut akan melaksanakan beberapa inisiatif Jangkauan Komuniti sempena Ramadan dan Syawal bagi menyantuni golongan yang memerlukan di seluruh negara. Antaranya termasuk, penyerahan sumbangan Rumah Kanak-Kanak Kota Kinabalu, Bazar Kasih Ramadan, sumbangan bakul makanan menerusi inisiatif Imarah Ramadan serta sumbangan duit raya kepada anak-anak yatim menerusi program Cahaya Aidilfitri.

Bank Rakyat juga akan meneruskan tradisi menghargai pengamal media menerusi edaran pek berbuka puasa kepada pengamal media di sekitar Kuala Lumpur, Lembah Klang serta Sabah dan Sarawak, di samping program edaran bubur lambuk yang akan diagihkan kepada komuniti setempat.

“Inisiatif ini mencerminkan semangat Hulurkan Salam yang bukan sahaja mengeratkan hubungan sesama insan tetapi juga membawa sinar kebahagiaan kepada mereka yang memerlukan sepanjang Ramadan dan Syawal,” ujar Ahmad Shahril.

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

shahrin

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button