Nasional

Kelonggaran rentas Sarawak berita menggembirakan

Berita gembira buat warganegara Malaysia yang ingin merentas negeri ke Sarawak apabila kelonggaran diberikan untuk memasuki negeri itu susulan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), 10 Jun lalu.

Mereka dari Semenanjung, Sabah dan Labuan bukan sahaja tidak perlu membuat permohonan kemasukan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak seperti sebelum ini, malah tidak perlu lagi menjalani ujian saringan COVID-19 (PCR) sebelum berlepas ke sana.

Pastinya, kelonggaran yang diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam, digunakan sebaiknya buat mereka yang ingin pulang ke kampung halaman atau pelancong memandangkan pelancongan domestik dibenar beroperasi semula semasa PKPP.

Namun, usah mengambil mudah kelonggaran yang diberikan kerana kebenaran rentas negeri bukan alasan untuk tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KMM).

Tentu sahaja, kita tidak mahu dalam keghairahan bertemu keluarga di kampung, akan mewujudkan kluster baharu.

Sejak 12 Jun, aliran trafik di lebuh raya utama serta jalan-jalan persekutuan sesak dipenuhi kenderaan mereka yang pulang ke kampung, dan hari ini aliran trafik dijangka meningkat apabila ramai yang akan kembali ke ibu kota sebelum memulakan tugas.

Ibarat sambutan hari raya fasa kedua, mereka yang tidak dapat pulang pada satu Syawal baru-baru ini mengambil peluang meraikan bulan kemenangan itu yang masih berbaki bersama keluarga setelah rentas negeri dibenarkan.

Kemeriahan berkumpul bersama keluarga di kampung dimanfaatkan dengan pelbagai aktiviti bagi mengeratkan hubungan setelah kira-kira tiga bulan tidak bertemu sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

Selain itu, ada juga yang memenuhi hujung minggu dengan bercuti di tempat-tempat menarik dalam negara. Tidak hairanlah, hotel-hotel tumpuan pelancong sudah tidak menang tangan menerima tempahan penginapan.

Misalnya di Perak, menerima 1,030 tempahan bilik hotel yang menunjukkan impak positif terhadap sektor pelancongan.

Apa-apa pun yang dilakukan atau dirancang, aspek keselamatan jangan sesekali diabaikan. Ingat, kita masih belum menang dalam perjuangan menentang pandemik COVID-19. – BERNAMA

(Visited 146 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button