Ekonomi

Covid-19: Semua kekosongan jawatan perlu utamakan rakyat tempatan

KEMENTERIAN Sumber Manusia memperkenalkan beberapa inisiatif bagi membantu rakyat tempatan yang kehilangan keraja akibat wabak Covid-19.

Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, majikan perlu memberikan keutamaan dari segi pekerjaan kepada pencari kerja tempatan.

Jelas beliau, semua kekosongan jawatan bagi pengambilan pekerja asing dan pegawai dagang mestilah diiklankan di Portal JobsMalaysia untuk tempoh tidak kurang dari 30 hari di portal JobsMalaysia.

Sekiranya tiada pengisian dari kalangan pencari kerja tempatan dalam tempoh tersebut, barulah majikan dibenarkan untuk membuat permohonan pengambilan pekerja asing dan pegawai dagang.

Majikan juga perlu mematuhi elemen Foreign Workers First Out (FWFO) selaras dengan peruntukan Seksyen 60N Akta Kerja 1955 dan Code of Conduct for Industrial Harmony.

Ini bagi memastikan aspek berkaitan pemberhentian, perkhidmatan pekerja asing mestilah ditamatkan terlebih dahulu bagi menjamin kelangsungan pekerjaan pekerja tempatan.

“Setiap majikan perlu melaporkan tindakan pemberhentian pekerja kepada Pejabat Tenaga Kerja menerusi Borang PK dalam tempoh sekurang-kurangnya 30 hari sebelum pemberhentian kerja, pemberhentian sementara, pemberhentian sukarela dan pengurangan gaji dilaksanakan selaras dengan Seksyen 63 Akta Kerja 1955.

“Pelaporan ini penting untuk membantu Kementerian ini memantau tindakan pemberhentian oleh majikan serta membantu penempatan semula pekerjaan kepada mereka yang terlibat. Majikan adalah disarankan untuk merujuk kepada Garis Panduan Pengurusan Pemberhentian Pekerja bagi memastikan prosedur pemberhentian dilaksanakan berdasarkan ketetapan yang digariskan oleh kerajaan,” kata Saravanan.

Selain itu kerajaan juga memberi elonggaran kepada majikan-majikan yang terkesan dan tidak berkeupayaan untuk meneruskan penggajian pekerja asing untuk memindah atau menukarkan keseluruhan atau sebahagian pekerja asing mereka kepada syarikat lain yang mempunyai keperluan tenaga kerja.

Maklumat lanjut berhubung inisiatif-inisiatif ini boleh diperolehi dengan menghubungi Bilik Gerakan Kementerian Sumber Manusia di talian 03-8886 5192/2409 dan di laman web jtksm.mohr.gov.my. -SM

(Visited 121 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button