Kelengkapan ‘serius’ untuk anggota ATM bertugas di kawasan PKPD
KELENGKAPAN serius perlu dipakai oleh anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas di kawasan yang diisytiharkan sebagai kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Panglima ATM, Jen Tan Sri Affendi Buang berkata kelengkapan berkenaan termasuk pemakaian helmet dan penggunaan senjata dalam memastikan keselamatan anggota di barisan hadapan.
“Sebenarnya anggota ATM yang bertugas di kawasan PKPD memang diarahkan untuk memakai combat helmet bagi keadaan tertentu dalam mengetatkan kawalan.
“Anggota yang membuat pengawasan ini mesti dilengkapi peralatan yang lebih serius termasuk membawa masuk senjata,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan di Pasar Borong Kuala Lumpur, hari ini seperti yang dilaporkan oleh BERNAMA
Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan yang tular di media sosial semalam mengenai anggota tentera memakai helmet untuk elak air kencing warga asing di kawasan PKPD iaitu di Selangor Mansion.
Affendi berkata pemakaian kelengkapan anggota yang ‘serius’ itu bagi memastikan keselamatan anggota selain memberi kesedaran kepada orang ramai yang masih ingkar dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan kerajaan.
Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim menerima laporan berhubung perbuatan segelintir penghuni Selangor Mansion yang membaling objek seperti botol, bungkusan sampah serta pasu bunga terhadap anggota tentera yang bertugas memasang ‘concertina wire’ di kawasan itu.
Beliau bagaimanapun dilaporkan berkata tiada sebarang laporan polis diterima berkenaan kejadian anggota tentera dibaling dengan air kencing warga asing.
Sebelum ini dilaporkan tindakan terbaharu oleh mereka yang tidak berpuas hati dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ke atas petugas keselamatan iaitu dengan melempar air kencing.
Jika sebelum ini para petugas terbabit hanya kena maki hamun kini tindakan yang dipercayai oleh sebahagian warga asing di ibu kota yang kediaman mereka kena PKPD lebih drastik.
Memetik laporan SInar Harian mereka bertindak melakukan protes melempar sampah dan air kencing kepada petugas keselamatan yang bertugas.
Affendi bagaimanapun menafikan perkara itu dengan berkata, pihak ATM hanya memakai helmet untuk tempat yang diisytiharkan sebagai kawasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD), manakala di tempat lain seperti biasa. – BERNAMA